33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

16 pesawat China ceroboh Zon Maritim Malaysia

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Wilayah Maklumat Penerbangan Kota Kinabalu (KK FIR) dan menghampiri ruang udara negara semalam.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat-pesawat Tentera Udara China tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada pukul 11.53 pagi.

Menurut beliau, pesawat- pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.

“Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pesawat Xian Y-20 yang dipintas oleh pesawat TUDM. – Gambar: TUDM

Ackbal memberitahu, pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knot melalui FIR Singapura sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Beliau menambah, TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

“Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR.

“Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan KK FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada pukul 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual,” jelasnya.

pesawat China
Gambar: TUDM

Ackbal berkata, hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenal pasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20.

Menurut beliau, pesawat-pesawat jenis itu merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.

“Insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan dalam KK FIR.

“Insiden ini telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan ATM amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN),” katanya.

Ackbal memberitahu, Kementerian Luar telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan