26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Tiada permohonan daripada wanita kecewa dengan polis

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Tiada permohonan rentas negeri direkodkan daripada seorang wanita yang mendakwa polis tidak membenarkan dia melakukan perjalanan itu untuk membawa bapanya yang sakit ke hospital.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Annas Sulaiman berkata, semakan melalui aplikasi MySejahtera di Balai Polis Salak Selatan mendapati tiada rekod kehadiran wanita itu.

Menurut beliau, semakan lanjut terhadap buku pelawat juga mendapati tiada rekod daftar masuk pada 17 April 2021, bukan seperti yang dilaporkan dalam Free Malaysia Today.

“Wanita tersebut menyatakan telah membuat permohonan merentas negeri bagi merentas negeri bagi tujuan membawa bapanya ke Pusat Dialisis di Nilai, Negeri Sembilan.

“Dia juga menyatakan semasa membuat permohonan telah mengemukakan beberapa dokumen seperti surat dialisis dan kad orang kurang upaya (OKU) milik bapanya sebagai lampiran merentas negeri, namun ditolak,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Annas menambah, wanita berkenaan menzahirkan perasaan kecewanya melalui akaun media sosial miliknya dengan mengatakan polis tidak berperikemanusiaan.

Beliau memberitahu, wanita itu juga menzahirkan kesedihan berikutan perkara tersebut yang mengakibatkan kematian bapanya pada 28 April 2021.

“Semakan lanjut terhadap rekod permohonan rentas negeri mendapati dia ada membuat permohonan pada 15 Januari 2021 pada pukul `12.07 tengah hari atas alasan melawat bapa di Hospital Mawar, Seremban. Permohonan dibenarkan,” jelasnya.

Annas berkata, wanita terbabit juga telah membuat permohonan pada 11 Februari 2021 pada pukul 11.17 pagi atas urusan keluarga di Melaka dan pada 26 April lalu pada pukul 12.15 tengah hari bagi menghadiri temuduga kerja di Melaka.

Menurut beliau, kedua-dua permohonan rentas negeri itu dibenarkan.

“Selain itu, pada 28 April lalu pada pukul 8.04 pagi bagi tujuan menziarahi kematian bapanya di Nilai dan juga dibenarkan,” ujarnya.

Annas berkata, polis masih menyiasat dakwaan anggotanya yang dikatakan bersikap kasar terhadap wanita terbabit. \

Pada 29 April lalu, Free Malaysia Today melaporkan tentang seorang wanita kecewa dengan layanan polis, yang menurutnya, menyebabkan dia tidak dibenarkan merentas negeri untuk membawa bapanya ke hospital.

Sehari sebelumnya, 11 hari selepas permohonan itu ditolak, bapa wanita berkenaan meninggal dunia.

“Kalau dah ‘pergi’ (meninggal dunia) memang takkan kembali. Saya dan adik-adik yang tanggung penyesalan seumur hidup,” katanya ketika dihubungi FMT. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan