24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

90 orang bersesak dalam rumah, mungkin diseludup

Mesti Baca

HOUSTON – Seramai 90 orang dipercayai pendatang asing ditemukan dalam keadaan bersesak di dalam sebuah rumah di Texas, Amerika Syarikat (AS).

Memetik laporan AFP, pihak berkuasa AS mengesyaki situasi itu mungkin berkaitan dengan kegiatan penyeludupan manusia.

Kertas siasatan berhubung kes berkenaan telah dibuka semalam.

Menurut Penolong Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Polis Houston, Daryn Edwards, rumah terbabit diserbu setelah pihaknya menerima laporan tentang kes culik.

“Apabila polis masuk ke dalam rumah itu, mereka sedar bahawa ia bakal menjadi siasatan kes penyeludupan manusia.

“Kami sangat terkejut dengan apa yang dilihat dalam rumah itu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, polis menemui lebih 90 orang dalam keadaan bersesak, termasuk lima wanita di dalam rumah dua tingkat yang bersaiz sederhana itu.

Namun Edwards mengesahkan tiada kanak-kanak dijumpai di dalam kediaman terbabit.

Beliau memberitahu, kes itu dilihat sebagai ‘lebih kepada penyeludupan dan bukan pemerdagangan.’

“Saya tidak tahu sama ada mereka hendak dihantar untuk melakukan kerja tertentu atau menjadi buruh atau sesuatu seumpama itu,” jelasnya.

Advertisements

Edwards berkata, sebilangan daripada mereka juga dilihat menunjukkan gejala jangkitan COVID-19 dan perlu dikuarantin.

“Kita berada dalam situasi pandemik dan terdapat beberapa orang di rumah itu yang bergejala.

“Beberapa orang memberitahu kami bahawa mereka tidak dapat menghidu, merasa dan ada yang demam,” jelasnya.

Beliau tidak memperincikan dari mana mereka berasal, namun sempadan Texas-Mexico memang tidak asing lagi sebagai lokasi untuk pendatang asing tanpa izin menyeberang ke AS.

Mereka yang berada dalam rumah terbabit dilaporkan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Sebahagian daripada mereka memberitahu polis bahawa mereka berasal dari negara-negara di Amerika Tengah.

Edwards menambah, mereka ditemukan dalam ‘pakaian yang asas’ dan saling berpelukan namun tidak diikat.

Polis juga menyediakan makanan dan minuman kepada mereka yang menyatakan sudah berhari-hari tidak makan.

Setakat ini, tiada maklumat tentang suspek yang membawa mereka ke rumah berkenaan.

Polis juga tidak menyatakan bagaimana 90 orang terbabit dibawa masuk ke dalam rumah.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan