25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 18, 2021

Siti nafi pendakwah bebas rentas negeri untuk hadir majlis

Must Read

CYBERJAYA – Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menafikan pendakwah bebas yang menghadiri majlis tahnik anak lelakinya melakukan perjalanan rentas negeri.

Menurut mereka, individu terbabit bersetuju untuk hadir kerada beliau secara kebetulan berada di Kuala Lumpur ketika majlis tersebut dianjurkan.

Berikut adalah kenyataan penuh mereka seperti yang disiarkan dalam Facebook dan Instagram:

Berhubung isu yang sedang tular ketika ini, kami sebagai tuan rumah, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza ingin memberi pencerahan mengenai majlis tahnik anak lelaki kami, Muhammad Afwa yang kami anjurkan pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

Dakwaan ini ditimbulkan apabila kami mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu.

Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku.

Sebaliknya, individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial PKPB seperti yang tertakluk pada tempoh itu.

Majlis juga terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat dengan kumpulan mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai halini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin.

Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan.

Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik. – EDISI 9

Latest News

Korea Utara tarik diri: Malaysia rayu FIFA adil buat ketetapan

CYBERJAYA - Malaysia menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penarikan diri Korea Utara daripada kelayakan...

More Articles Like This