28.7 C
Kuala Lumpur
Friday, December 13, 2024

Empat lagu lengkapkan album edisi mewah ‘Sitism’

Mesti Baca

SELEPAS melancarkan album Sitism yang memuatkan lapan buah lagu pada Jun lalu, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul dengan empat karya tambahan dalam album edisi mewah.

Album edisi mewah Sitism telah melengkapkan 12 buah lagu dan mula dilancarkan di seluruh pelantar digital sejak 8 September lalu.

Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan ‘ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album.

Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 beliau.

Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana menurutnya, apabila beliau menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.

Siti Nurhaliza berkata, empat buah lagu terbaharu yang dimuatkan dalam album Sitism bukanlah lagu bonus tetapi telah menjadi antara pilihan terbaik untuk melengkapkan 12 karya walaupun berjarak dua bulan selepas pelancarannya.

“Ini adalah salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada peminat, pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu dari album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini saya dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe (mewah) pula.

“Album Sitism adalah diri gaya saya yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan saya,” katanya.

Advertisements

Album terbitan Universal Music Sdn Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd itu turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal.

Pra-tempah album Sitism diadakan selama seminggu bermula 18 Ogos hingga 25 Ogos lalu di platform snp.onpay.my.

Album fizikal ini juga akan turut dijual di kedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.

Empat buah lagu terbaharu dalam edisi mewah tersebut adalah Senyawa (Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush/Tam Cobain/Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah/Illi Diyana), Kusedari (Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).

Istimewanya dalam edisi mewah ini, Siti telah mengundang penyanyi rock legenda, Datuk Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih.

Ini adalah penampilan pertama Datuk Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.

Selain itu album Sitism memuatkan lagu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/Amir Hasan & Nuha Nik), Romansa Kita (Sharon Paul/Rozisangdewi), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).

Sitism edisi mewah sudah boleh didengari di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBOX dan YouTube Music bermula hari ini. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

YKM belanja RM5 juta bantu anak yatim akibat COVID-19

YAYASAN Keluarga Malaysia (YKM) telah membelanjakan sebanyak RM5 juta pada tahun ini bagi membantu meringankan beban dihadapi anak-anak yatim...

Lagi Artikel Berkaitan