25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Penjawat awam sokong Zionis Israel positif morfin

Mesti Baca

MELAKA – Seorang penjawat awam yang disyaki mengeluarkan kenyataan menyokong rejim Zionis Israel melalui rakaman video yang tular melalui aplikasi TikTok dipercayai positif dadah jenis morfin ketika berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, polis menerima laporan berkaitan video tular tersebut kira-kira pukul 11.13 pagi semalam.

Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah memuat naik video berdurasi 59 tersebut melalui aplikasi TikTok dengan nama pengguna @pahlawan90.

“Video tular tersebut telah menimbulkan reaksi negatif daripada masyarakat kerana dilihat menyentuh sensitiviti agama.

“Suspek telah dipanggil untuk direkodkan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 18 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rakaman video penjawat awam yang menyokong rejim Zionis Israel itu seterusnya tular dalam media sosial termasuk Facebook.

Para netizen seterusnya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap lelaki terbabit kerana menyinggung sensitiviti umat Islam yang mengutuk serangan ganas rejim Zionis Israel di Gaza.

Advertisements

Afzanizar menambah, suspek yang berumur 31 tahun bekerja sebagai penjawat awam di Melaka.

Beliau memberitahu, ujian saringan air kencing juga dijalankan terhadap suspek dan dia didapati positif dadah jenis morfin.

“Suspek ditahan untuk siasatan berasingan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana suspek dibawa ke mahkamah hari ini dan perintah tahanan reman selama dua hari diperolehi,” jelasnya.

Afzanizar berkata, polis juga berjaya merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek yang dipercayai digunakan ketika memuat naik video tersebut dalam aplikasi TikTok.

“Daripada siasatan yang dijalankan, disyaki suspek memuat naik video tersebut ketika di bawah pengaruh dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis menyeru kepada orang ramai supaya menggunakan platform media sosial dengan bertanggungjawab dan mengelakkan membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama serta masyarakat berbilang kaum. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan