24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pejabat PM nafi keluar kenyataan media PKP dalam BI

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pejabat Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan media berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam bahasa Inggeris.

Penafian itu dinyatakan dalam kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

“Merujuk kepada kenyataan media YAB Perdana Menteri berhubung pelaksanaan PKP berbahasa Inggeris yang tular dan didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, ingin ditegaskan bahawa pejabat ini hanya mengeluarkan kenyataan yang dimaksudkan dalam bahasa Melayu,” jelas kenyataan itu.

Salinan terjemahan berhubung pengumuman PKP oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam bahasa Inggeris tular melalui media sosial sejak semalam.

Terjemahan tersebut mengandungi perkataan yang kurang tepat bagi menggambarkan beberapa perkataan asal berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Hari Raya Aidilfitri.

Kelmarin, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKP mulai hari ini hingga 7 Jun sebagai usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat.

Beliau mengumumkan pelaksanaan PKP itu selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikannya di Putrajaya pada hari yang sama.

“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.

“Kewujudan varian baharu dengan kadar jangkitan lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat menuntut kerajaan untuk mengambil tindakan lebih drastik bagi mengelak negara terjerumus dalam malapetaka kesihatan lebih parah,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan pelaksanaan PKP itu, Muhyiddin berkata antara larangan dan arahan yang perlu dipatuhi termasuk tiada ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang minggu ini.

“Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh membuatkan lebih 1,000 jemaah manakala hanya 20 orang bagi masjid dan surau yang berkapasiti kurang daripada 1,000 jemaah.

“Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat,” katanya.

Perdana Menteri berkata operasi rumah ibadah bukan Islam juga akan diperketatkan dan prosedur operasi standard (SOP) mengenainya akan ditetapkan oleh Kementerian Perpaduan Negara.

Advertisements

Selain itu, Muhyiddin berkata majikan diwajibkan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa.

Bagi sektor awam, penentuan BDR adalah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dari semasa ke semasa.

Mengenai bilangan orang di dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing, Muhyiddin berkata ia dihadkan kepada tiga orang termasuk pemandu, manakala bilangan orang dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi/industri adalah berdasarkan lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

“Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Sepanjang tempoh PKP ini, Perdana Menteri berkata makan di dalam premis makanan tidak dibenarkan melainkan penjualan makanan secara pandu lalu serta take-away atau bawa pulang.

Mengumumkan semua institusi pendidikan ditutup, Muhyiddin berkata pengecualian diberikan kepada penuntut yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa manakala pusat asuhan kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.

Katanya larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk hal-hal kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Muhyiddin berkata semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta tidak dibenarkan.

Sebarang bentuk seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka juga tidak dibenarkan, katanya.

Perdana Menteri berkata bagaimanapun majlis akad nikah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam serta Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam.

Selain itu, semua aktiviti sukan dan rekreasi adalah dilarang kecuali sukan dan rekreasi individu di kawasan terbuka seperti joging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

Muhyiddin berkata sepanjang tempoh PKP itu, langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan.

Beliau berkata sepanjang tempoh PKP, semua sektor eknomi dibenarkan beroperasi dan SOP terperinci bagi semua larangan serta arahan yang terkandung dalam PKP kali ini akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan