26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 28, 2021

Tiupan membangkitkan semangat belia bekerja

Mesti Baca

Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHAMMAD RIZAN HASSAN

rizan belia bekerja

KURANG daripada seminggu, golongan belia di negara kita akan menyambut Hari Belia Negara 2021 pada 15 Mei dalam suasana yang semakin mencabar.

Namun, kekuatan dalaman yang mungkin selama ini bertakung dan kurang menyerlah kini telah semakin berubah terhadap segala kemungkinan baharu.

Kekuatan semangat inilah yang menolak para belia untuk berpuas hati dengan apa yang ada dan bangkit berusaha terus maju.

Merujuk kepada Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), jumlah populasi belia di Malaysia (berumur 15-40 tahun) adalah seramai 15,101,000 orang.

Maka, sudah semestinya sambutan kali ini diharap dapat meniupkan satu semangat baharu untuk golongan belia bangkit demi negara agar kemakmuran dapat dinikmati bersama dengan segera.

Satu perkara penting adalah soal kebangkitan untuk terus menggalakkan belia bekerja dalam pelbagai sektor khususnya dalam hal penggantian pekerja asing.

Banyak inisiatif dan insentif untuk belia bekerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) seperti Skim Perantisan Nasional (SPN), Penjana Kerjaya 2.0, Career Advancement Programme (CAP) dan banyak lagi.

Tidak dilupakan, peranan NGO perlu juga diiktiraf seperti Projek Belia Mahir yang aktif di lapangan sebagai ejen penyampai maklumat kepada belia.

Bagi memenuhi permintaan industri yang bertambah akibat kekangan kemasukan dan penghantaran pulang pekerja asing, pembangunan sumber tenaga mahir belia perlu dirancang dengan lebih teratur dan berkesan.

Perhatian yang lebih berat perlu diberikan terhadap melengkapkan belia-belia kita dari pelbagai latar belakang dengan berbagai kemahiran yang diperlukan industri.

Baca juga:   Keseimbangan ekonomi, sosial dan kesihatan bagi golongan belia
Baca juga:   PPV IPT Mega USIM tamat, berjaya suntik 200,665 dos

Langkah-langkah penyesuaian wajar dilaksanakan supaya industri dapat bergerak dengan lancar. Industri juga perlulah memainkan peranan membantu usaha kerajaan.

Penglibatan industri dalam memberi latihan akan mempercepatkan pengeluaran tenaga kerja menjadi selaras dengan perkembangan masa kini.

Penggunaan teknologi yang semakin canggih dalam sektor perindustrian memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran yang setara dengan penggunaan teknologi moden.

Di samping itu, kemahiran, sama ada kemahiran pengurusan atau kemahiran ketukangan dan teknikal, hendaklah juga berorientasikan kualiti.

Kesungguhan untuk mencapai tahap kecemerlangan merupakan ciri utama dalam pengurusan sumber manusia.

Di sinilah peranan industri amat mustahak di samping melengkapkan laluan kerjaya pekerja. Inilah jaminan masa depan yang belia kita perlukan sekarang.

Golongan belia bekerja pula harus menyedari tentang tanggungjawab mereka dalam pencapaian matlamat perindustrian negara.

Negara kita memerlukan lebih ramai anak muda tampil mengisi pelbagai jawatan yang ditinggalkan oleh pekerja asing.

Kemahiran, bakat, daya cipta yang ada pada belia kita perlu dimajukan lagi sama ada melalui pendidikan atau latihan-latihan perindustrian mahupun jaminan peningkatan kerjaya masa depan yang jelas.

Seperkara yang patut diingati oleh para belia ialah kecekapan dalam semua jenis kerja pertukangan datangnya dari mengulangi kerja itu berkali-kali.

Jangan malu untuk dipanggil sebagai pekerja kilang atau pun menjawat jawatan sebagai operator pengeluaran. Jika pada mulanya pencapaian adalah rendah, ini tidak harus mengecewakan.

Baca juga:   Sekolah tetap dibuka 3 Oktober, selamatkah anak-anak?

Dengan ketekunan mengulang dan mengulang berkali-kali akhirnya kecekapan yang tinggi akan diperolehi.

Justeru, kita tidak patut takut untuk memasuki sesuatu bidang bermula dari pekerjaan bawahan. Sesiapa sahaja boleh mencapai kecemerlangan.

Usaha-usaha kita untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan separuh mahir mungkin akan lebih berjaya jika kita dapat mengubah sikap dan tanggapan masyarakat ke atas pekerjaan kolar biru.

Golongan belia khususnya, perlu menyedari tentang sumbangan besar yang boleh dibuat oleh pekerja-pekerja kolar biru kepada pembangunan ekonomi negara.

Baca juga:   Hanya 27 peratus graduan bumiputera dapat kerja - TERAJU

Pencapaian matlamat untuk kebangkitan dalam era pandemik COVID-19 ini bergantung besar kepada kejayaan kita mewujudkan kumpulan pekerja mahir dalam kalangan belia yang mencukupi dalam berbagai bidang.

Oleh yang demikian, tanggapan negatif ke atas pekerjaan kolar biru wajarlah dihakis dalam kalangan kita semua.

Tidak ada cara yang lebih berkesan untuk menghakis tanggapan ini daripada memberi upahan yang lebih baik kepada pekerja kolar biru daripada pekerja kolar putih.

Jika penghargaan ini dibuktikan maka bekalan pekerja kolar biru akan bertambah dan kemahiran mereka juga akan meningkat.

Selamat Menyambut Hari Belia Negara 2021.

Dekad Ini, Dekad Anda!

  • Penulis ialah Tokoh Belia Negara 2011 / Tokoh Belia ASEAN 2011. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Institut Masa Depan Malaysia tawar geran penyelidikan

CYBERJAYA - Institut Masa Depan Malaysia mengalu-alukan para penyelidik dan ahli akademik dari universiti dan institusi penyelidikan untuk mengambil...

Lagi Artikel Berkaitan