32.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 29, 2023

Palestin: Pemuda UMNO gesa adakan sidang khas Parlimen

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen bagi membuat usul tergempar mengutuk serangan zionis terhadap rakyat Palestin.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, umum mengetahui punca ketegangan di timur Baitulmaqdis adalah rentetan tindakan pertubuhan penempatan Israel yang bertujuan mengubah kawasan kejiranan Palestin menjadi kawasan kejiranan Yahudi sehingga mengundang bantahan rakyat Palestin.

Beliau berkata, tindak balas Israel yang menggunakan kekerasan dan keganasan terhadap himpunan awam rakyat Palestin jelas tidak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa

Malahan, jelas beliau, mereka juga melanggar Resolusi 2334 Dewan Keamanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkenaan larangan membangunkan pemukiman baharu Yahudi di atas tanah milik rakyat Palestin.

“Justeru Parlimen mesti segera bersidang dan membentangkan usul yang akan menyerlahkan solidariti rakyat Malaysia tanpa mengira parti dan ideologi dalam menyuarakan pendirian secara tegas dan keras terhadap aksi teroris dan kebiadaban Israel yang mencabuli hak asasi manusia dan melakukan jenayah Perang yang amat melampau,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi Dusuki
ASYRAF WAJDI DUSUKI

Asyraf Wajdi berkata, Parlimen Malaysia juga mesti turut mengusulkan agar Majlis Keselamatan PBB segera campur tangan sebelum lebih banyak nyawa orang awam terutama wanita dan kanak-kanak terkorban akibat kerakusan tentera zionis Israel.

Sidang Parlimen ditangguhkan sehingga berakhir darurat pada 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan Covid-19.

Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen.

“Ketika darurat, Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) boleh buat ordinan. Agong sudah boleh gubal undang-undang.

“Keperluan Parlimen bersidang untuk buat undang-undang tidak ada. Fokus kita adalah Covid-19. Jadi kita boleh tangguhkan dulu (sidang Parlimen),” katanya seperti dilapor media. – Edisi 9

Terkini

Pengecualian visa: Aspek keselamatan negara tidak diabaikan – PM

SUSULAN pengumuman kerajaan mengenai pengecualian visa kepada beberapa negara baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan...

Lagi Artikel Berkaitan