25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 29, 2021

LGM nafi fitnah jahat terhadap Khairuddin

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Lembaga Getah Malaysia (LGM) menafikan fitnah jahat yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berhubung isu penjualan dan pajakan hartanah milik LGM.

LGM dalam kenyataan media hari ini berkata, pihaknya memandang berat kenyataan tidak benar dan kesalahan fakta yang tular dalam media sosial berkaitan isu tersebut.

Lembaga itu turut mengesahkan bahawa belum ada sebarang urusan penjualan, pajakan atau urus niaga berkaitan dua lot tanah milik LGM iaitu Lot 20012 dan Lot 20013 (masing-masing nombor lama dikenali sebagai Lot 75 dan Lot 76) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Semua penjualan atau pajakan tanah milik LGM perlu mendapat perakuan lembaga ini terlebih dahulu sebelum dimajukan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali untuk kelulusan.

“LGM telah menerima permohonan daripada beberapa syarikat bagi membeli Lot 20012.

“Pertimbangan akan dibuat selaras dengan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan serta pandangan Jabatan Warisan Negara,” jelasnya.

Baca juga:   Budayakan musyawarah, bukan burukkan keadaan dengan fitnah

Fitnah jahat berkaitan penjualan dan pajakan tanah milik LGM itu mula tular setelah salinan beberapa dokumen dimuat naik dalam laman Facebook sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Difahamkan, satu laporan dibuat di Balai Polis Presint 11, Putrajaya hari ini berhubung fitnah jahat yang tular itu.

Baca juga:   Israel kerajaan haram perampas bumi Palestin

LGM memberitahu, bagi Lot 20013, tawaran pajakan telah dibuat secara tender terbuka dan telus oleh LGM Properties Corporation (LGMPC) iaitu perbadanan milik LGM, pada Oktober 2020.

Menurut LGM, terdapat beberapa syarikat yang telah menghantar permohonan melalui tender tersebut.

“Berdasarkan kriteria, proses dan prosedur yang ketat oleh LGMPC serta LGM, Al-Noor Foundation telah terpilih setelah membida dengan bidaan tertinggi.

“Namun begitu, keputusan bagi pajakan Lot 20013 dan penjualan Lot 20012 masih belum diputuskan oleh Lembaga Pengarah LGM.

“Ini bermaksud, ia belum diangkat untuk pertimbangan dan persetujuan YB Menteri,” katanya.

Justeru, LGM menegaskan tidak ada sebarang perjanjian pajakan atau transaksi jual beli yang termeterai dengan mana-mana pihak.

LGM berkata, mengikut peraturan, semua penilaian hartanah sama ada untuk pajakan atau penjualan akan dirujuk kepada JPPH sebelum kadar pajakan serta nilai pasaran semasanya ditentukan supaya memberi pulangan hasil yang terbaik untuk LGM. – EDISI 9

Terkini

Kos penyediaan RMK-12 kecil sahaja, bukan RM2 bilion

CYBERJAYA - Kerajaan tidak pernah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion untuk menyiapkan buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sepertimana didakwa...

Lagi Artikel Berkaitan