26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Laksanakan PKP penuh segera – Tok Mat Hasan

Mesti Baca

CYBERJAYA – UMNO terus mendesak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown bagi menangani penularan wabak Covid-19 yang dianggap semakin buruk.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, memandangkan keadaan semakin terdesak maka langkah terdesak juga perlu dilaksanakan.

“Jelas perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dan kedua tidak berkesan,’’ katanya seperti dilaporkan FMT.

Beliau berkata, proses vaksinasi tidak cukup pantas dan cara terbaik untuk memutuskan rantaian jangkitan ialah melalui penguatkuasaan perintah sekatan menyeluruh dan PKP yang pertama membuktikan hakikat itu.

MOHAMAD HASAN

‘’Negeri Victoria di Australia, melaksanakan perintah sekatan menyeluruh selama tujuh hari selepas 26 kes jangkitan direkodkan. Kes kita lebih banyak lagi dan kita sedang bergelut dengannya.

“Kita perlukan perintah sekatan yang menyeluruh dan teliti sekurang-kurangnya selama tiga minggu seperti PKP pertama. Jika kita perlu meminjam duit bagi membantu perniagaan dan rakyat, maka kita perlu buat,” tegasnya.

Beliau berkata, bantuan itu termasuklah moratorium pinjaman, subsidi upah dan bantuan tunai, terutama kepada golongan miskin.

Mohamad juga menggesa supaya proses semakan dan kelulusan vaksin dipercepatkan, terutama yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kerajaan harus membenarkan sektor swasta mendapatkan bekalan vaksin supaya golongan yang mampu dan bersedia membayar kosnya boleh pergi ke sana. Ini akan mempercepatkan proses vaksinasi,’’ katanya.

Kata Mohamad, apabila angka jangkitan menurun, kerajaan boleh menimbangkan untuk membuka semula ekonomi secara berperingkat dengan pemantauan ketat.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan berkata, kerajaan harus lebih memikirkan soal nyawa rakyat berbanding soal defisit.

Katanya, kerugian RM2.4 bilion yang dikatakan ditanggung kerajaan ketika PKP1.0 dahulu, bukanlah kerugian yang ditanggung rakyat, tetapi sebenarnya merupakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dianggarkan tidak akan dijana akibat pelaksanaan PKP.

“Kerajaan sering mengingatkan kita bahawa jika PKP penuh dilaksanakan, negara akan menanggung kerugian RM2.4 bilion setiap hari seperti mana pernah dilalui PKP1.0 tahun lepas (Mac dan April).

”Jika kerajaan boleh lupakan KDNK, pelihara pendapatan dan pekerjaan buat sementara untuk rakyat, di samping lockdown, maka bukankah itu cara yang terbaik?

“Saya melihat disebabkan kerajaan Malaysia terlalu takut defisit, terlalu takut hutang, sebab itulah ia tak mahu lockdown,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada negara di dunia ini yang mendahulukan sasaran defisit berbanding kebajikan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam sektor ekonomi mereka.

“Tatkala seluruh dunia menghadapi krisis berganda kesihatan dan ekonomi, paling teruk dalam sejarah moden dunia. Obsesi kita terhadap KDNK, terhadap defisit, terhadap hutang (kerajaan), perlu kita lupakan.

”Saya yakin rakyat memahami keperluan untuk mengimbangi antara kepentingan menyelamatkan ekonomi dan kepentingan menyelamatkan nyawa,’’ katanya.

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan