30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kes Covid-19 lepasi angka setengah juta, 2,199 kematian

Mesti Baca

CYBERJAYA – Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia telah melepasi angka setengah juta apabila 6,320 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan kumulatif kes kini 505,115.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes itu menjadikan kes aktif terkini ialah 53,682 manakala kes sembuh sebanyak 4,694 sementara jumlah kematian 2, 199 orang.

“Sebanyak 50 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 22 kes di Selangor, Kuala Lumpur (sembilan), Johor (lima), Kedah (empat), Perak (tiga), masing-masing dua kes di Sarawak dan Pahang, serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Melaka, dan Kelantan.

‘’Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ialah 652 kes dan daripada jumlah itu, 370 memerlukan bantuan pernafasan, ‘’ katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat 17 kluster baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 535.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan melalui Facebook , beliau berkata, sistem kesihatan negara sedang menghadapi tekanan besar.

Menurut beliau, keadaan semakin terdesak sehingga Kementerian Kesihatan kini terpaksa menukar fungsi pelbagai ruang di hospital untuk diubah menjadi unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19.

Tegas Dr Noor Hisham, langkah itu terpaksa diambil selepas kadar penggunaan katil di ICU di seluruh hospital di Lembah Klang sudah mencecah 113 peratus atau bersamaan 344 katil ICU untuk 377 pesakit COVID-19.

 “Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.

Pada masa ini, tiga hospital yang kadar penggunaannya luar biasa tinggi ialah di Kajang yang mempunyai enam katil ICU untuk pesakit COVID-19 tetapi pesakitnya ada 19 orang atau penggunaannya bersamaan 317 peratus.

Sementara Hospital Banting pula mempunyai lapan pesakit COVID-19 tetapi hanya mempunyai empat katil ICU, sementara Hospital Serdang mempunyai 55 pesakit sedangkan tetapi katil ICU yang boleh disediakan hanya 32

“Hospital-hospital Kementerian Kesihatan kini terpaksa menukar fungsi lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, kadar penggunaan katil ICU Covid-19 di seluruh negara secara keseluruhannya sudah mencecah angka 91 peratus.

Dalam hantaran yang sama, beliau berkongsi beberapa keping gambar yang menunjukkan keadaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang kadar penggunaannya mencapai 117 peratus termasuk menggunakan wad biasa.

Tidak ketinggalan, Dr Noor Hisham juga berkongsi situasi di Hospital Sungai Buloh yang mana sebahagian daripada Jabatan Kecemasan ditukar menjadi tempat rawatan kritikal.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menyeru orang ramai agar patuh larangan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan kekal duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting untuk keluar.

Dr Noor Hisham dalam masa sama menggesa majikan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah serta menghadkan jumlah pekerja yang hadir di pejabat pada satu-satu masa.

“Virus COVID-19 berada di dalam komuniti. Patuhilah SOP (prosedur operasi standard) dan duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar. Bantu kementerian dengan “lockdown” kendiri untuk putuskan rantaian jangkitan COVID-19. Jangan tunggu lagi. Kita jaga kita,” kata beliau lagi.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan