34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Doktor pakar pandu Porsche Coupe maut kemalangan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

BATU PAHAT – Seorang pakar bius yang bertugas di hospital swasta di sini maut selepas kereta mewah jenis Porsche Coupe yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2 Jalan Kluang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, Dr Noor Zairul Muhamad, 50, memandu seorang diri dari arah Batu Pahat menghala ke Sri Gading.

Menurut beliau, apabila sampai di tempat kejadian, kereta Porsche Coupe yang dipandunya hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu di batu penghadang tengah jalan.

“Kemudian, kereta mangsa terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 31 tahun, juga seorang diri.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian manakala pemandu MPV cedera di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Pantai untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail memberitahu, polis menerima maklumat tentang kejadian daripada orang ramai kira-kira pukul 9.40 pagi.

Beliau turut mengesahkan kedua-dua mangsa tinggal di Batu Pahat.

Ismail menambah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penggaram telah membantu mengeluarkan mayat dari kereta Porsche Coupe dan kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

“Keadaan jalan berselekoh dan semasa kejadian, cuaca baik. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” jelasnya.

Beliau berkata, polis menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati semasa memandu, patuhi undang-undang jalan raya di samping peka keadaan lalu lintas.

“Pemandu juga dinasihatkan mendapat rehat yang cukup sebelum memulakan pemanduan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan provokatif diturunkan sejak awal tahun

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang...

Lagi Artikel Berkaitan