LONDON – Kerajaan Britain kesal dengan tindakan segelintir penyokong Manchester United yang menyerbu ke dalam stadium Old Trafford semalam bagi menyuarakan bantahan terhadap pemilik-pemilik kelab terhebat di dunia itu.
Pendirian itu ditegaskan oleh Menteri Luar Britain, James Cleverly ekoran insiden yang berlaku sebelum aksi Manchester United menentang Liverpool.
Kejadian tersebut menyebabkan perlawanan Liga Perdana Inggeris itu terpaksa ditangguhkan.
“(Kita) tidak boleh, tidak boleh membiarkan apa yang kita lihat semasa mereka menyerbu masuk stadium.
“Tetapi kita perlu memahami kecewaan yang dialami penyokong, bukan sahaja dengan Manchester United, tetapi dengan beberapa kelab lain dalam liga,” katanya seperti dilaporkan Sky News.
Sementara itu, Polis Manchester menyifatkan keganasan yang berlaku itu tidak boleh diterima sama sekali dan mesti dikecam sekeras-kerasnya.
Dua anggota polis cedera dan salah seorang daripada mereka memerlukan rawatan kecemasan setelah mukanya luka terkena botol yang dilemparkan demonstran.
Beratus-ratus penyokong The Red Devils mengalihkan sekatan di luar stadium sebelum merempuh melepasi petugas keselamayan dan memasuki Old Trafford.
Polis berkata, terdapat lebih 1,000 penyokong yang berada di luar stadium pada mulanya membuat bantahan secara aman.
Namun, sekumpulan kecil penyokong kemudian melemparkan botol dan besi penghadang ke arah polis dan kuda.
Ketua Persekutuan Polis Manchester, Stu Berry berkata, anggota-anggota polis tidak sepatutnya dijadikan sasaran bagi peserta demonstrasi melepaskan geram.
“Sebaik sahaja syif mereka berakhir, anggota-anggota polis yang gigih bekerja sepatutnya pulang ke rumah untuk bersama dengan keluarga masing-masing dalam keadaan selamat.
“Bukannya dibawa ke hospital,” katanya.
Demonstrasi itu dianjurkan bagi mendesak Pengerusi Bersama Manchester United, Joel Glazer meletak jawatan ekoran keputusan membawa kelab ternama dunia tersebut menyertai Liga Super Eropah.
Walaupun Manchester telah menarik balik penyertaan dalam liga kontroversi itu, penyokong-penyokong The Red Devils tidak dapat menerima permohonan maaf yang dibuat oleh Glazer.
Rata-rata penyokong The Red Devils menganggap keputusan terdahulu yang dibuat oleh pemilik Manchester United itu sukar untuk dimaafkan dan permohonan maaf daripada beliau tidak memberi sebarang makna.
Rata-rata mereka mendesak agar Glazer melepaskan pegangannya di Old Trafford dan meninggalkan kelab gergasi tersebut.
Para penyokong berpandangan, Glazer tidak sepatutnya membuat keputusan yang mengheret kelab kesayangan mereka dalam kemelut Liga Super Eropah.
Mereka menegaskan, Glazer sepatutnya menyuntik lebih banyak dana untuk memantapkan lagi Manchester United dengan membeli pemain-pemain bertaraf bintang.
Penyertaan dalam Liga Super Eropah tidak membantu dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan The Red Devils, kata mereka.