25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 18, 2021

Shahril pelik Wan Saiful seolah-olah galak lompat parti

Must Read

Lukman Ismail
Berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan pernah bertugas dengan Utusan Malaysia selama 24 tahun.

CYBERJAYA – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan merasa pelik dengan sikap rakan sejawatannya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang seolah-olah menggalakkan aktiviti lompat parti.

Ini berikutan kenyataan Wan Saiful semalam bahawa lompat parti merupakan hak ahli-ahli Parlimen dan ia tidak sepatutnya menjadi isu.

Menurut Shahril, beliau pelik apabila Wan Saiful menyamakan peralihan jawatan Tan Sri Hamid Bador dari Cawangan Khas kepada Ketua Polis Negara dengan tindakan lompat parti oleh ahli-ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

“Suatu analogi yang tak masuk akal. Saya tak rasa perlu diterangkan sebab memang tak masuk akal YB (ahli Parlimen) lompat parti dihalalkan dengan alasan penjawat awam pun ada yang pindah jabatan atau naik pangkat.

“Jangan esok guna alasan: rakyat pun tukar kerjaya – dulu kerja pejabat hari ini berniaga kedai makan, jadi lompat parti ini OK. Bertuah…,” katanya menerusi Facebook, malam tadi.

Beberapa hari lalu, Abdul Hamid yang bersara sebagai Ketua Polis Negara mulai semalam menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat isu lompat parti kerana diyakini mempunyai unsur-unsur rasuah.

Beliau dilaporkan berkata, ada ahli politik yang pergi ke Sabah menggunakan jet peribadi dan selepas itu terdapat wakil rakyat negeri tersebut yang mengumumkan melompat parti.

Berikutan itu, Wan Saiful mempersoalkan kenyataan Abdul Hamid yang dianggap tidak relevan dan boleh dipersoalkan.

Antara lain beliau seperti dilapor media berkata, tindakan lompat parti banyak berlaku ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta pendedahan oleh Abdul Hamid juga dianggap sudah terlambat.

Justeru, motif bekas Ketua Polis Negara yang dilantik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu diragui.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata, soal bila Abdul Hamid menimbulkan isu tersebut bukanlah isu utama tetapi sepatutnya dakwaan tersebut perlu disiasat terlebih dahulu dan bukan persoal motif sebagai alasan mengalih perhatian.

“Rakyat boleh menilai sendiri motif Tan Sri Hamid, tapi ia tidak mengurangkan seriusnya dakwaan beliau.

“Kalau hendak persoal motif, elok juga persoal motif figura PPBM dahulu mendukung Tun Mahathir. Sekarang orang sama juga menunding jari ke Tun Mahathir sebagai PM yang memperlihat banyak episod lompat parti,” sinis Shahril.

Pada masa yang sama, Shahril berkata, kenyataan Wan Saiful itu secara langsung atau tidak langsung mengakui bahawa isu lompat parti banyak berlaku di bawah Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mungkin sebab itu beliau terpanggil menyerang Tan Sri Hamid, kerana bekas KPN itu secara tidak langsung mengingatkan rakyat parti mana yang paling mengaut untung hasil pesta melompat parti besar-besaran tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.

Shahril turut menempelak Wan Saiful yang menganggap lompat parti bukanlah jenayah mutlak mengikut undang-undang.

“Tapi jika ada unsur rasuah, unsur ugutan adakah ia menjadi hak dan halal lagi? Jika mempermain mandat rakyat, mempermain jentera parti yang memenangkan calon-calon itu, adakah ia menjadi hak dan halal lagi?,” persoal beliau.

Katanya, bukan hanya bekas Ketua Polis Negara yang musykil adanya unsur rasuah apabila begitu ramai ahli Parlimen yang berhijrah semenjak PRU-14 namun rakyat juga menolak budaya ‘katak’ secara berleluasa tersebut. – Edisi 9

Latest News

Korea Utara tarik diri: Malaysia rayu FIFA adil buat ketetapan

CYBERJAYA - Malaysia menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penarikan diri Korea Utara daripada kelayakan...

More Articles Like This