28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Industri agrikomoditi mesti patuh semua SOP PKP

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

PUTRAJAYA – Para pemain industri agrikomoditi membabitkan ladang, kilang dan premis operasi termasuk pekebun kecil diingatkan supaya semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi tanpa sebarang kompromi.

Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kementeriannya mengambil perhatian serius terhadap peningkatan mendadak kes baharu jangkitan COVID-19 pada masa ini.

Menurut beliau, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang lebih ketat berkuat kuasa hari ini adalah langkah paling wajar dalam usaha memutuskan rantaian wabak dan melandaikan keluk pandemik yang semakin membimbangkan.

“Semua sektor di bawah industri agrikomoditi seperti sawit, getah, kayu dan perabot, koko, lada, kenaf serta biodiesel dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 60 peratus sahaja.

“Sehubungan itu, semua pemain industri dan majikan perlu memastikan pekerja sentiasa mengikut SOP baharu yang telah ditetapkan.

“Pemantauan yang lebih kerap oleh majikan kepada pematuhan oleh pekerja hendaklah dilaksanakan.

“Antaranya penggunaan aplikasi MySejahtera dan penyediaan kemudahan sanitasi tangan di tempat yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairuddin memberitahu, adalah menjadi tanggungjawab majikan dan pemilik premis dalam memastikan hanya pekerja serta pelanggan yang tidak berisiko memasuki kawasan premis iaitu dengan suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah selsius dan tidak mempunyai gejala batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas.

Beliau menambah, sekiranya gagal, pemilik premis akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Selain daripada itu, pemilik premis yang tersenarai di bawah Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) hendaklah mengambil tindakan intervensi dengan melaksanakan sanitasi premis dan meningkatkan kawalan dan pemantauan pelanggan serta melaksanakan penutupan premis jika diarahkan oleh Pegawai Kesihatan Daerah selepas penilaian risiko dijalankan,” jelasnya.

Mohd Khairuddin berkata, majikan sektor agrikomoditi perlu merujuk kepada SOP Sektor Agrikomoditi yang dikemaskini oleh KPPK pada 25 Mei 2021.

Sebarang pertanyaan berhubung SOP tersebut boleh dikemukakan kepada KPPK di talian hotline 03-88803498, Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang atau melalui emel: [email protected].

Menurut beliau, KPPK berharap pematuhan SOP yang lebih ketat dan tegas oleh semua akan dapat menurunkan bilangan kes COVID-19 sekali gus mampu meredakan kebimbangan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan segera. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan