25 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 20, 2021

eBelia dibuka 21 Jun, 2 juta belia layak mohon

Must Read

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Program eBelia yang merupakan sebuah inisiatif kredit e-tunai bernilai RM300 juta akan dibuka kepada sekitar dua juta belia warganegara Malaysia yang layak bermula 1 Jun 2021.

Menurut Kementerian Kewangan, ia bertujuan meringankan beban kewangan selain menggalakkan perbelanjaan secara tanpa tunai dalam kalangan belia serta pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan berdaftar.

Di bawah Belanjawan 2021, sejumlah RM200 juta telah diperuntukkan bagi menyalurkan RM100 kredit e-tunai bagi setiap belia yang layak.

“Kerajaan telah menambah baik inisiatif ini dengan peruntukan tambahan sejumlah RM100 juta di bawah program PEMERKASA yang diumumkan Mac lalu, menjadikan keseluruhan peruntukan bagi program ini sebanyak RM300 juta.

“Dengan faedah tambahan ini, setiap penerima layak mendapat nilai kredit berjumlah RM150, berbanding RM100 sebelum ini.

“eBelia akan ditawarkan melalui empat penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, Boost, ShopeePay and Touch ‘n Go eWallet, yang secara keseluruhan mempunyai 30 juta pengguna aktif, dan jaringan lebih sejuta peniaga di dalam dan luar talian,” jelas Kementerian Kewangan dalam kenyataan media, hari ini.

Kementerian Kewangan menambah, setiap pemohon yang layak boleh menuntut RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-tunai ini, yang akan disertakan dengan insentif tambahan dalam bentuk pulangan tunai, baucar, mata terkumpul atau coins oleh penyedia perkhidmatan e-tunai yang dipilih sepanjang tempoh kempen.

Inisiatif eBelia dibuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada tahun 2021 (lahir pada tahun 2001 hingga 2003) atau merupakan pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau SKM4 dan ke atas di IPT tempatan berdaftar.

Kementerian Kewangan berkata, data belia akan disemak silang dengan IPT tempatan yang berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkenaan.

“Tempoh tuntutan kredit tersebut adalah dari 1 Jun hingga 22 Julai 2021 dan kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai 2021.

“Mereka yang layak digalakkan untuk mengemas kini akaun di aplikasi e-tunai masing-masing atau memuat turun aplikasi e-tunai tersebut sebelum 1 Jun 2021,” katanya.

eBelia merupakan satu kerjasama Kementerian Kewangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. – EDISI 9

Latest News

Perancah besi di Lebuh Raya DASH jatuh, dua pekerja cedera

CYBERJAYA - Dua pekerja pembinaan dipercayai cedera selepas perancah besi atau ‘scaffolding’ lebuh raya yang sedang dalam pembinaan runtuh...

More Articles Like This