34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Antara wang sitaan RM114 juta, Najib dan ‘hilangnya’ Amar Singh

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

DI sebalik hasil keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan kerajaan untuk melucutkan hak wang tunai lebih RM114 juta milik Datuk Seri Najib Razak beberapa hari lepas, ramai yang tertanya-tanya ke mana menghilangnya bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh?

Ini berikutan pada 2018 lalu, atau sejurus selepas kejayaan Pakatan Harapan (PH) merampas kerajaan daripada Barisan Nasional (BN), beliaulah yang bertanggungjawab mengetuai gerakan menyerbu kediaman Najib dan beberapa lokasi lain yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu.

Antara serbuan yang dibuat adalah di sebuah kondominium mewah di Pavillion Residense yang dikatakan milik Najib dan merampas sejumlah wang tunai, barang kemas dan beg-beg tangan berjenama.

Amar Singh juga menjadi orang yang paling popular ketika itu kerana kerap mengadakan sidang akhbar melaporkan perkembangan kes berkaitan Najib, yang ketika itu dilayan seperti seorang penjenayah besar.

Hampir semua stesen TV dan media-media digital membuat laporan secara langsung sidang akhbar Amar Singh. Pendek kata, ada sesetengah pihak menjulangnyasebagai ‘hero’ dalam kes Najib.

Kediaman Najib diserbu pada malam pertama Ramadan selama 20 jam, malah kediaman ibunya, Tun Rahah yang juga balu bekas Perdana Menteri Kedua turut diserbu dan diselongkar.

Gambar Amar Singh Ishar Singh ketika mengadakan sidang akhbar berhubung serbuan ke atas kondominium yang dikaitkan dengan Najib Razak pada 2018 lalu. – Sumber: Carian internet

Ada media melaporkan kasut milik cucu Najib, Adam juga turut dirampas. Begitulah telitinya pihak berkuasa diketuai Amar Singh ketika itu menangani kes Najib.

Najib telah berulang kali menafikan dakwaan bahawa wang tunai dan barangan yang disita adalah milik peribadinya. Malah kondominium yang diserbu juga bukan milik Ahli Parlimen Pekan itu atau isternya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tidak puas hati dengan layanan diberikan, Najib dilapor telah mengeluarkan tuntutan saman terhadap Amar Singh serta dua yang lain iaitu Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Thommy Thomas.

Namun nama Amar Singh tiba-tiba ‘hilang dari radar’ sejak beliau menamatkan perkhidmatannya pada 3 Disember 2018 yang kemudiannya digantikan dengan Datuk Saiful Azly Kamaruddin.

Sejak itu juga tiada lagi laporan serbuan dibuat terhadap aset-aset yang dikaitkan dengan Najib manakala nama Amar Singh juga tidak lagi disebut-sebut sehinggalah kelmarin apabila keputusan mahkamah berpihak kepada Najib.

Hakim Muhammad Jamil Hussin berkata, Jabatan Peguam Negara gagal membuktikan bahawa wang RM114 juta itu mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Advertisements

Beliau juga mengarahkan agar wang tunai yang disita kerajaan itu dikembalikan kepada Najib dengan serta-merta.

Najib berkata, wang tersebut adalah dana pilihan raya yang disumbangkan oleh pihak-pihak tertentu yang dikeluarkan dari peti besi Pejabat Perdana Menteri sejurus BN diumumkan tewas dalam PRU-14.

Mengelak wang tersebut jatuh ke tangan PH, Najib telah membawa keluar wang tersebut dan disimpan di kondominium berkenaan yang dikatakan milik isteri seorang jutawan ternama.

Selain wang tunai tersebut, barang kemas dan beg-beg berjenama yang turut dirampas bersama wang tunai tersebut masih belum diperoleh.

Najib yakin barang kemas dan beg tangan tersebut juga akan dapat diperolehi semula berikutan kegagalan Jabatan Peguam Negara mengaitkan barangan berkenaan dengan 1MDB atau kegiatan jenayah.

Sebetulnya barang kemas dan beg-beg tangan berjenama tersebut adalah sumbangan para pemimpin negara lain kepada isterinya sementelah beliau adalah seorang Perdana Menteri, akui Najib.

Berhubung ke mana ‘hilangnya’ Amar Singh, penulis sendiri tidak mengetahuinya, walaupun ada cakap-cakap mengatakan beliau sudah berhijrah ke luar negara. Namun tiada sebarang bukti untuk mengesahkannya.

Bagaimanapun harus diingat bahawa Amar Singh hanya menjalankan tugas, sebaliknya dosa-dosa memfitnah terhadap Najib berhubung wang tunai dan barangan yang dirampas itu sepatutnya turut ditanggung oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika itu.

Amar Singh selaku penjawat awam sudah tentu hanya mengikut arahan ketua-ketuanya dari Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan tentunya pemimpin tertinggi, Perdana Menteri.

Apapun, kes ini biarlah menjadi pengajaran kepada semua terutama rakyat umumnya agar tidak terlalu taksub dengan dakyah yang dibawa oleh pemimpin dan parti politik tertentu.

Betullah bak kata ulama terdahulu bahawa dosa fitnah itu umpama memakan daging saudaranya sendiri. Fitnah bukan sahaja membuat mangsa merana, lebih parah tanah air pun boleh tergadai.

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan