24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Zahid, Anwar masih belum buat laporan polis

Mesti Baca

CYBERJAYA – Masih belum ada laporan polis yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rakaman audio perbualan telefon yang tular setakat ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beliau berkata, kedua-dua pihak perlu tampil membuat laporan polis sekiranya yakin tidak berlaku komunikasi berkenaan.

“Sehingga semalam belum ada laporan polis dibuat daripada pegawai Zahid atau Anwar. Laporan yang ada dibuat orang ramai.

“Kalau Zahid kata dia tidak ada membuat komunikasi itu dia patut yakin membuat laporan polis, begitu juga Anwar,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun, Ipoh, hari ini.

Ahli Parlimen Larut itu menambah, isu berkenaan adalah berbentuk peribadi dan laporan polis perlu dibuat individu yang berkenaan.

“Ada orang membuat laporan polis, tetapi orang lain buat dan pegawai buat berbeza. Itu kita semua perlu faham dan hendaklah orang yang ada yang kena mengena membuat laporan polis kerana ini hal peribadi.

“Membuat laporan polis palsu itu adalah satu kesalahan, jadi kalau dia (Zahid dan Anwar) rasa tidak melakukan kesalahan apa nak takut buatlah laporan polis,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengulas berhubung video bekas Ahli Majlis Tertingggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mencabarnya untuk membuktikan berhubung video itu dan membuat laporan polis.

Advertisements

“Pasal apa pula dia hendak mencabar saya membuktikan rakaman itu betul atau tidak, mana saya nak tahu siapa yang membuat rakaman itu dan saya tidak pernah berkata saya tahu siapa yang membuat rakaman.

“Kenapa hendak suruh saya membuat laporan polis? Apa yang pentingnya pada saya adalah apabila sudah ada (laporan polis) kita siasat dahulu sama ada percakapan atau audio itu sahih atau tidak,” katanya.

Semalam, Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat ketulenan rakaman audio dan butiran perbualan telefon yang didakwa antara Ahmad Zahid dan Anwar.

Sementara itu di MELAKA, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan Ahmad Zahid dan Anwar tampil membuat laporan berhubung rakaman audio perbualan telefon yang tular, sekiranya benar diri mereka difitnah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima tujuh laporan daripada pelbagai pihak dan sehingga pagi Jumaat, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh dua pemimpin politik itu atau wakil mereka.

“Setakat ini tujuh laporan telah diterima dan kita lihat daripada tempoh, reaksi orang ramai terhadap audio tersebut. Sekiranya ia sampai ke tahap orang ramai sudah rasa bimbang dan gusar, kita akan jalankan siasatan.

“Saya tidak dimaklumkan (laporan dibuat Ahmad Zahid dan Anwar), kita tunggu sahaja lah, kalau betul mengatakan beliau difitnah, tampillah membuat laporan demi kebaikan juga,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Bersepadu Op Khazanah (OBK) Siri 7, di sini hari ini.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan