29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Penyokong Man Utd berang, desak Glazer angkat kaki

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

LONDON – Permohonan maaf secara terbuka daripada Pengerusi Bersama Manchester United, Joel Glazer tidak mampu meredakan kemarahan penyokong kelab terhebat di dunia itu ekoran persetujuan menyertai Liga Super Eropah sebelum ini.

Glazer membuat permohonan maaf dalam kenyataan yang disiarkan dalam portal rasmi Manchester United dan turut dikongsi melalui laman Facebook kelab berkenaan.

Rata-rata penyokong The Red Devils menganggap keputusan terdahulu yang dibuat oleh pemilik Manchester United itu sukar untuk dimaafkan dan permohonan maaf daripada beliau tidak memberi sebarang makna.

Glazer
Penyokong tegar Manchester United mahu Joel Glazer meninggalkan kelab terhebat di dunia itu. – Gambar hiasan: Facebook Manchester United

Manchester United telah mengumumkan bahawa kelab itu menarik diri daripada Liga Super Eropah semalam.

Dalam ruangan komen di bawah hantaran yang memaparkan pautan ke surat terbuka daripada Glazer, penyokong-penyokong tegar Manchester United menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap tokoh korporat dari Amerika Syarikat (AS) itu.

Rata-rata mereka mendesak agar Glazer melepaskan pegangannya di Old Trafford dan meninggalkan kelab gergasi tersebut.

Para penyokong berpandangan, Glazer tidak sepatutnya membuat keputusan yang mengheret kelab kesayangan mereka dalam kemelut Liga Super Eropah.

Mereka menegaskan, Glazer sepatutnya menyuntik lebih banyak dana untuk memantapkan lagi Manchester United dengan membeli pemain-pemain bertaraf bintang.

Advertisements

Penyertaan dalam Liga Super Eropah tidak membantu dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan The Red Devils, kata mereka.

Malah, sekumpulan penyokong tegar Manchester United merancang untuk mengadakan perhimpunan di pekarangan Old Trafford pada petang Sabtu ini bagi mendesak Glazer meninggalkan kelab itu.

Dalam surat terbukanya kepada semua penyokong Manchester United, Glazer mengakui kesilapannya dalam membuat keputusan menyertai Liga Super Eropah.

Beliau berjanji akan memperbetulkan kesilapan itu serta memberi komitmen peribadi untuk mendapatkan semula keyakinan daripada para penyokong.

Pemilik Manchester United itu turut mengakui kegagalannya menghormati tradisi bola sepak yang telah berakar sejak sekian lama iaitu kenaikan dan penyingkiran dalam liga serta sistem piramid.

“Ini adalah kelab yang terhebat di dunia dan kami meminta maaf secara terbuka atas segala masalah yang ditimbulkan sejak beberapa hari lalu.

“Adalah penting bagi kami untuk memperbetulkannya semula.

“Manchester United mempunyai warisan yang kaya dan kami menyedari tanggungjawab kami untuk mendukung tradisi dan nilai-nilainya yang hebat,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan