31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Apa guna Seksyen 23 SPRM selagi PM punya kuasa mutlak?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh ZAID IBRAHIM

DATUK Seri Najib Tun Razak dituduh menyalahgunakan kuasa dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ia berbunyi begini:

23 (1) Any officer or public body who uses his office or position for any gratification, whether for himself, his relative or associate commits an offence”.

Gratification mempunyai makna yang luas. Apa-apa keuntungan sama ada wang ringgit atau apa-apa jenis kemudahan, keistimewaan yang didapati oleh pegawai tersebut, sama ada secara terus atau melalui pihak ketiga menjadi kesalahan.

Akta SPRM di atas yang ingin mengatasi masalah penyalahgunaan kuasa ini ada di negara-negara demokrasi yang lain.

Tetapi Seksyen 23 mengenai “salah guna kuasa “ tidak sesuai kepada negara Malaysia. Ini kerana beberapa sebab:

Pertama: Di negara kita, Perdana Menteri mempunyai kuasa yang begitu luas, malah lebih banyak kuasa berbanding Presiden Donald Trump.

Di Amerika, kuasa Presiden dikawal oleh Congress (Parlimen). Jabatan Negara dan Pegawai Negara juga dipilih oleh Congress.

Di sana, agensi penting kerajaan pada lazimnya bebas daripada kawalan dan pengaruh Presiden. Jawatan mereka diluluskan oleh Congress.

Di Malaysia siapa boleh kata “no” kepada Perdana Menteri?

Kedua: Selain daripada Perdana Menteri pertama, kedua dan ketiga (Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein), Perdana Menteri selepas mereka mempunyai kuasa penuh dan mereka begitu seronok.

Di zaman Tunku, ada cadangan agar beliau memegang jawatan Menteri Kewangan semasa Tan Siew Sin mahu bercuti, tetapi Siew Sin membantah kerana dia kata Tunku boros.

Tidak terfikir untuk Tunku mengguna kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk veto keputusan tersebut. Dia serah jawatan Menteri Kewangan kepada Tun Razak semasa Siew Sin bercuti.

Tun Razak pun sama. Dia tidak ghairah dengan kuasa sebagai Perdana Menteri.

Apabila berpindah di kediaman rasmi setelah memegang jawatan Perdana Menteri, anak-anak Tun Razak mahu sebuah kolam renang dibina. Beliau menolak cadangan itu. Katanya, pergilah mandi di Lake Club (tidak jauh dari rumahnya).

Begitulah cermat Perdana Menteri zaman dahulu dengan kuasa dan tidak mahu memberi keuntungan peribadi kepada keluarga, walau sedikit pun dari kuasanya.

Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn tidak mempunyai kuasa mutlak sepertimana Perdana Menteri selepasnya.

Zaman berubah, Malaysia jadi kaya dan Perdana Menteri seperti yang pertama, kedua dan ketiga sudah tidak ada lagi.

Hari ini Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak. Ada yang memperkayakan kawan-kawan, ada pula memberi kontrak besar-besaran kepada anak mereka sehingga mereka menjadi bilionair. Ada juga yang memperkayakan menantu mereka.

Bukan itu sahaja, mereka boleh mendaftar parti politik yang mereka mahu dan menolak pendaftaran parti politik yang mereka tidak senang. Mereka boleh buat apa saja.

Oleh kerana kuasa Perdana Menteri dewasa ini sungguh luas, tidak masuk akal, kita dapat melaksanakan keperluan Seksyen 23 SPRM secara adil dan impartial tanpa memihak.

Tidak masuk akal tindakan seorang menteri dan Perdana Menteri yang salah guna kuasa akan disiasat oleh polis dan SPRM dan seterusnya didakwa oleh seorang Peguam Negara yang juga dipilih dengan teliti oleh Perdana Menteri tersebut.

Saya bukan menolak keperluan satu undang-undang untuk membanteras salah guna kuasa.

Malangnya pelaksanaan undang undang “salah guna kuasa” tidak boleh berlaku secara saksama dan adil dalam konteks negara sekarang ini.

Undang-undang yang tidak boleh dilaksanakan secara saksama adalah undang-undang yang tidak sepatutnya ada dan diguna pakai mengikut keperluan semasa.

Sistem pentadbiran negara perlu diubah dahulu. SPRM, polis, Peguam Negara, Parlimen semua mesti bebas daripada pengaruh dan kuasa mutlak Perdana Menteri.

Lantikan mereka perlu disahkan oleh Parlimen, baru mereka berani bertindak. Barulah pelaksanaan undang-undang itu akan saksama dan adil.

Jika tidak, undang-undang akan hanya digunakan kepada musuh politik sahaja.

Bila musuh kita menang, dia pula akan menggunakan kuasa itu ke atas yang tewas. Tidak akan berakhir political revenge (politik balas dendam) di Malaysia.

Saya ditanya dalam satu temu ramah, mengapa saya “kasihan kepada Najib Razak?”

Saya kasihan kepada beliau kerana beliaulah sahaja didakwa salah guna kuasa.

Sedangkan jelas kepada rakyat, Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan Malaysia mempunyai kuasa yang luas dan selalu menggunakan kuasa itu sepenuhnya, tetapi mereka tidak pun dikatakan menyalah guna kuasa.

Biarlah dalam pilihan raya nanti kita menangkan kumpulan yang betul-betul mahu ubah secara menyeluruh sistem keadilan negara supaya kepincangan dan salah guna kuasa tidak lagi berlaku.

  • Datuk Zaid Ibrahim adalah bekas Menteri Kabinet. Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan