CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat berbangga dengan keupayaan Telekom Malaysia (TM) untuk menjadi satu-satunya syarikat Penyedia Perkhidmatan Awan (CSP) tempatan yang telah diberikan kebenaran beroperasi di bawah inisiatif MyDigital bersama tiga lagi CSP lain dari luar negara.
Menurut beliau, Perkhidmatan Awan akan membolehkan rakyat Malaysia mengakses dan menikmati pengalaman sambungan yang lancar dalam menyokong gaya hidup yang lebih digital, masyarakat digital, perniagaan digital, industri digital dan Kerajaan digital seiring dengan inisiatif MyDigital.
“Pagi ini saya telah melawat Pusat Data Teras Lembah Klang (KVDC) dan melancarkan Perkhidmatan Awan dan Keselamatan Siber Telekom Malaysia (TM) untuk Kerajaan Malaysia.
“KVDC adalah sebuah ekosistem Awan & Keselamatan Siber milik TM ONE.
“Ini merupakan satu permulaan yang sangat baik buat inisiatif MyDigital untuk menarik pelaburan baharu dalam sektor digital dari dalam dan luar negara yang disasarkan sebanyak RM70 billion sehingga tahun 2030,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Muhyiddin juga telah menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Panel Pengkomputeran Awan Berpusat TM dan Penyedia Perkhidmatan Terurus di antara Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), TM dan Cloud Connect.
“Tahniah kepada pihak TM atas komitmen dan kesediaan dalam memainkan peranan utama dalam memacu tranformasi digital kerajaan di bawah inisiatif MyDigital,” katanya. – EDISI 9