32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Mencari ‘penyelamat UMNO’ dalam kalangan Naib-naib Presiden

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh KAMARUL AZMAN

MEMBUNUH karakter para pemimpin UMNO sudah menjadi lumrah buat musuh-musuh parti politik Melayu yang telah banyak berjasa ini.

Suka atau tidak kita perlu mengakui bahawa UMNO kini melalui zaman yang paling mencabar dalam sejarah sejak penubuhannya.

Ia bukan sahaja menghadapi tentangan dari luar tetapi juga dari dalam yang dilihat lebih merosakkan. Jika UMNO lambat bertindak, ia akan membawa padah yang amat besar.

Sama seperti apa yang berlaku kepada Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dahulu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini berhadapan dengan saat-saat sukar.

Najib dan Zahid diserang secara bertali arus bagi memastikan segala sisa-sisa perjuangan mereka dihapuskan bagi memastikan UMNO kecundang sekali lagi menjelang PRU-15.

Musuh-musuh UMNO kini mengamalkan strategi serampang dua mata iaitu lumpuhkan Presiden dan kucar-kacirkan pemimpin tertinggi.

Apabila melihat Zahid sibuk dibelenggu dengan kes yang dihadapinya, pakar strategi musuh memulakan langkah kedua dengan membuatkan para pemimpin UMNO berseteru antara satu sama lain.

Ini amat mudah dilakukan kerana mereka yang tewas dalam pemilihan parti yang lalu, masih belum boleh menerima kekalahan mereka walaupun pemilihan telah lama berlalu. Setiap komentar mereka pasti dituruti dengan bibit-bibit keretakan dalam parti.

Ketika semua ini berlaku, perhatian tertumpu kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat). Namun Tok Mat tahu strategi musuh.

Sebarang tindakan daripada Tok Mat akan diperbesarkan sebagai usaha untuk mengetepikan Presiden. Tok Mat tidak mahu masuk ke dalam perangkap musuh. Buat masa ini Tok Mat tidak mahu menambahkan lagi masalah dalam UMNO.

Hakikatnya, UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin. Barisan Naib Presidennya mempunyai kebolehan dan daya kepimpinan yang tinggi.

Ketiga-tiga mereka ini boleh menggalas tugas parti dan negara dengan cemerlang.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seorang yang penyabar dan telah memegang jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan dengan jayanya.

Ismail Sabri berjaya menonjolkan diri sebagai seorang pemimpin yang berkebolehan apabila menggalas tugas penting dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid 19 ini.

Ismail Sabri kini dilihat sebagai seorang pemimpin UMNO yang boleh dipertanggungjawabkan dengan jawatan yang paling tinggi.

Datuk Seri Mahdzir Khalid pula merupakan seorang Naib Presiden yang sarat dengan pengalaman sebagai Menteri Besar dan Menteri Pendidikan yang disukai ramai.

Seorang pemimpin tulen, beliau merupakan seorang individu yang tidak mudah dipengaruhi dalam hal ehwal yang remeh lagi memusnahkan.

Beliau kini dilihat sebagai seorang pemimpin UMNO yang paling rasional dan tidak suka menambah masalah.

Malah beliau telah dianggap sebagai nakhoda UMNO yang sangat penting dalam pelayaran parti itu menuju ke destinasiya.

Seorang yang berpandangan jauh, Mahdzir bimbang peperangan mulut antara pemimpin boleh menenggelamkan UMNO.

Justeru, beliau mengingatkan para pemimpin UMNO agar membiarkan para pemimpin yang sepatutnya sahaja untuk membuat kenyataan bagi pihak UMNO supaya ia nampak senada dan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ahli.

Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin pula adalah seorang yang sangat praktikal. Berkata apa yang perlu buat kesejahteraan parti. Beliau tidak akan berdiam diri jika keadaan memerlukan. Lembut dan kasar pada tempatnya.

Napoleon Bonaparte pernah berkata “usah ganggu apabila musuh-musuh mu sedang melakukan kesilapan.”

Musuh-musuh sedang melihat UMNO bercakaran sesama sendiri. Mujurlah UMNO masih mempunyai pemimpin tulin dalam Naib-Naib Presidennya.

• Penulis adalah pembaca Edisi 9. Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan