34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

34 penunggang basikal disaman langgar undang-undang

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

SINGAPURA – Seramai 34 penunggang basikal disaman hujung minggu lalu kerana melanggar undang-undang jalan raya semasa melakukan aktiviti berkenaan.

Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) dalam hantaran Facebook berkata, mereka dikesan melakukan pelbagai kesalahan semasa operasi dijalankan bersama polis trafik pada Sabtu dan Ahad lalu.

Operasi tersebut meliputi kawasan dari Lebuh Raya Ayer Rajah (AYE) dan Lebuh Raya Pantai Barat hingga ke Bukit Timah dan Jalan Pantai Tanah Merah.

“Walaupun ramai yang mematuhi undang-undang, kami mendapati seramai 16 penunggang basikal tidak memakai topi keledar semasa menunggang di atas jalan raya dan 16 orang lagi melanggar lampu isyarat merah.

“Dua lagi menunggang basikal menghala arah yang bertentangan dengan lalu lintas,” jelas LTA.

LTA menambah, operasi tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan dalam menguatkuasakan keselamatan jalan raya dan lalu lintas.

LTA turut mengingatkan bahawa penunggang basikal mesti mematuhi undang-undang dan bertimbang rasa serta berhemah bagi memastikan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain.

“Kami gembira melihat lebih ramai yang melakukan aktiviti yang mesra alam sekitar ini namun mereka perlu sentiasa mengutamakan keselamatan semasa di jalan raya,” kata LTA.

Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen di Singapura.

Seorang netizen meminta LTA mengambil tindakan lebih tegas dengan melarang aktiviti rekreasi berbasikal di atas jalan raya.

“Rekreasi berbasikal tiada tempat di atas jalan raya kita. Ia sepatutnya dilakukan di taman-taman,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi netizen mahu LTA memberi tumpuan terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pengguna-pengguna jalan raya yang lain.

“Bagus! Tolong beri tumpuan juga terhadap pemandu dan penunggang motosikal yang tidak berhenti di lintasan pejalan kaki,” katanya.

Seorang netizen menyarankan agar kerajaan Singapura menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan penunggang basikal mengambil undang-undang keselamatan jalan raya.

“Selepas itu, nilai denda akan menjadi lebih tinggi kerana mereka tidak lagi boleh menggunakan alasan bahawa mereka tidak tahu tentang peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya.

“Saya juga seorang penunggang basikal dan mengalu-alukan langkah ini,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan