25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Santhara mahu saman pihak fitnah isu ke New Zealand

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar kesal dengan laporan media kelmarin yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana telah membangkitkan isu mengenai beliau keluar negara ke New Zealand.

Ahli Parlimen Segamat itu menyatakan, beliau telah memohon cuti selama 55 hari bekerja melalui Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bagi mendapatkan kelulusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui surat rujukan KWP.TM.100-4/3/4 Jilid 6 (8) pada 3 Disember lalu.

Menurut beliau, susulan itu, permohonan tersebut telah disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan pada 10 Disember dan diluluskan oleh Perdana Menteri pada 18 Disember lalu.

“Selain itu, saya juga telah mematuhi prosedur Jabatan Imigresen supaya memohon kebenaran untuk keluar negara (MyTravelPass) secara dalam talian.

“Permohonan MyTravelPass saya telah dikemukakan kepada Jabatan Imigresen pada 30 Oktober 2020 dan menerima kelulusan tersebut pada 2 November 2020,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Santhara memberitahu, setelah memastikan setiap prosedur dipatuhi dan semua kelulusan diperolehi, pada 23 Disember 2020, selepas menghadiri mesyuarat, beliau telah ke luar negara dan menjalani kuarantin di New Zealand bermula 24 Disember 2020 hingga 9 Januari 2021.

Beliau menambah, tujuan ke luar negara adalah bagi melawat anak-anaknya di New Zealand, khususnya anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

“Selain itu, sebagai bapa yang bertanggungjawab, saya perlu untuk bertemu dengan dengan anak yang berusia 9 tahun bagi menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sepanjang cuti rehat tersebut setelah hampir setahun tidak berjumpa.

“Di samping itu, saya juga perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan.

“Sebagai tambahan, upacara anak saya yang berumur 9 tahun untuk menerima holy communion juga tidak dapat saya hadiri kerana sentiasa sibuk dengan tugas sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen,” jelasnya.

Namun, Santhara berkata, selaras dengan Kerajaan Prihatin yang dibawa oleh Perdana Menteri, komitmennya terhadap tugas dan tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Segamat adalah sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan kebajikan rakyat di Wilayah Persekutuan dan Parlimen Segamat terus terpelihara.

“Saya telah menghadiri setiap hari persidangan Dewan Rakyat dengan rekod kehadiran 100 peratus.

“Saya juga telah menghadiri persidangan Dewan Negara untuk penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada 22 Disember 2020.

“Selain itu, setelah dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan bermula pada 10 Mac 2020, saya tidak pernah memohon cuti rehat, tidak pernah bercuti pada hujung minggu ataupun cuti peristiwa mahupun cuti perayaan, atau mendapatkan cuti sakit sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Kata Santhara, ini bagi memastikan saya sentiasa dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dalam mendepani setiap isu berkaitan pandemik COVID-19 dan isu-isu rakyat di Wilayah Persekutuan dan Parlimen Segamat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020.

Menurut beliau, untuk pengetahuan, Kad Laporan Prestasi Parlimen Segamat, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Tahun 2020 telah menunjukkan prestasi melebihi 99 peratus dan semua gerak kerja di kawasan Parlimen Segamat terus dirancang dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin, seperti yang tertera dalam akaun media sosial Facebook rasmi (www.drsanthara.com).

“Begitu juga dengan semua tugas yang diamanahkan ke pejabat saya di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah pun dilaksanakan berdasarkan arahan saya dari semasa ke semasa. telah pun dilaksanakan berdasarkan arahan saya dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Berkaitan tuduhan oleh media yang tidak bertanggungjawab, Santhara menegaskan bahawa ia adalah tidak benar.

“Saya telah keluar negara sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan semula di Malaysia. Iaitu setelah menghadiri semua sidang parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

Santhara turut menafikan beliau berulang alik dari New Zealand ke Malaysia untuk menghadiri sambutan Hari Wilayah Persekutuan seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dalam laman Facebook miliknya.

Santhara juga menghargai kematangan politik yang ditunjukkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang secara baik meminta penjelasan berkaitan isu tersebut dan tidak membuat tuduhan seperti Prabakaran.

“Selain itu, saya juga akan berbincang dengan para peguam saya setelah kembali ke Malaysia, berkaitan tuduhan fitnah palsu yang telah dilemparkan kepada saya yang telah menjejaskan reputasi saya sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen.

“Laporan polis juga akan dibuat terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab kerana melemparkan tuduhan palsu dengan niat yang jahat dan mengelirukan rakyat,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan