24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Rugi RM120j ditipu sindiket tipu jual sarung tangan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penipuan jualan sarung tangan yang telah mengakibatkan kerugian berjumlah RM120,799,941.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, 10 anggota sindiket yang terdiri daripada sembilan rakyat tempatan dan seorang warga Mongolia telah ditahan.

Menurut beliau, tangkapan adalah hasil operasi di sekitar Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur yang dilancarkan JSJK pada 15 Mac lalu.

“Turut dirampas dalam serbuan dan operasi ini adalah 12 unit telefon bimbit, 14 keping kad ATM, satu unit tablet, dua buku cek, lapan set pelbagai dokumen, tiga buah kereta, dokumen SSM dan wang tunai berjumlah RM6,106,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan Akta Anti Pengubahan Wang Haram.

Zainuddin memberitahu, sehingga 14 Mac lalu, sebanyak 98 kes penipuan berkaitan sindiket tersebut telah disiasat oleh JSJK.

Beliau menambah, pemantauan dan risikan secara berterusan oleh JSJK telah berjaya mengesan beberapa individu serta syarikat yang terlibat dalam kes penipuan jualan sarung tangan di negara ini.

Advertisements

“Hasil siasatan mendapati ahli sindiket akan menarik minat pembeli untuk membeli sarung tangan pada harga yang murah.

“Sindiket memperdayakan mangsa dengan menggunakan nama syarikat pengeluar sarung tangan terkemuka di Malaysia bagi menarik minat syarikat pembeli dari dalam dan luar negara.

“Sindiket kemudiannya akan memberikan pelbagai alasan sehingga syarikat pembeli perlu melakukan pembayaran keseluruhan bernilai jutaan ringgit sebelum gagal dihubungi dan menghilangkan diri,” jelasnya.

Zainuddin berkata, pandemik COVID-19 telah menyebabkan permintaan luar biasa dalam pembekalan dan penjualan barangan keperluan seperti pelitup muka dan sarung tangan di seluruh dunia.

Menurut beliau, perkara itu telah dilihat sebagai satu peluang kepada ahli sindiket untuk mengaut keuntungan dengan kaedah memperdayakan mangsa melalui jualan sarung tangan yang tidak wujud.

Sehubungan itu, Zainuddin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan sindiket seperti itu. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan