34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

AS jangan tahan maklumat bantu Najib bela diri

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Barisan Nasional (BN) berpandangan bahawa kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak sepatutnya menahan maklumat yang boleh membantu pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pasukan Khas Demokrasi dan Perundangan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan laporan Free Malaysia Today baru-baru ini, firma guaman dari Brafman & Associates yang mewakili bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng mendakwa kerajaan AS telah berbuat demikian.

Menurut beliau, hakikatnya, kerajaan AS harus mengemukakan maklumat seperti keterangan dan bukti yang boleh menzahirkan pendedahan penting berkaitan pembelaan Najib.

“Apa yang membimbangkan ialah surat itu turut menyatakan bahawa kerajaan AS seakan-akan aktif dalam melindungi Goldman Sachs dan bahawa kerajaan AS dan Goldman Sachs bersama-sarna demi kepentingan mereka semata-mata dan ini perkara ini amat merisaukan.

“Hak kepada perbicaraan yang adil adalah hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Azalina memberitahu, Brafman & Associates mendakwa kerajaan AS telah campur tangan dengan permohonan penzahiran dan pemeriksaan dokumen oleh Najib.

Beliau menambah, firma guaman tersebut telah memohon kepada mahkamah di New York untuk mengarahkan pematuhan kepada sapina untuk memberikan keterangan dan mengemukakan dokumen untuk membuktikan bahawa pegawai-pegawai 1MDB terlibat dalam skim jenayah yang membabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan Tim Leissner.

“Surat daripada peguam Roger Ng juga menarik perhatian hakim bahawa perkara tersebut adalah sensitif kepada masa memandangkan perbicaraan 1MDB masih berjalan.

“Untuk menahan keterangan daripada Najib merupakan suatu pencabulan ke atas hak berperlembagaan Najib kepada perbicaraan yang adil dan saksama,” jelasnya.

Roger telah diekstradisi ke AS untuk berdepan pertuduhan berkaitan skandal 1MDB.

Beliau sedang menunggu perbicaraan di mahkamah New York atas tuduhan pengubahan dana 1MDB secara haram.

Dalam surat itu, peguam yang mewakili Roger menyatakan bahawa Najib telah berjaya mendapatkan perintah daripada Hakim Katherine Parker yang membenarkan sapina dikeluarkan terhadap Goldman Sachs dan Lessner.

Sapina tersebut adalah untuk mendapatkan dokumen dan testimoni yang mungkin boleh membantu Najib membela dirinya dalam pertuduhan jenayah yang dihadapi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – EDISI 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan provokatif diturunkan sejak awal tahun

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang...

Lagi Artikel Berkaitan