33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

PRU-15: Apakah akan berlaku tsunami luar biasa?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

DALAM tempoh 60 tahun Malaysia merdeka dan hampir 50 tahun usia penulis kini, sudah berlaku dua kali tsunami politik dalam pilihan raya di Malaysia yang menjadi satu kejutan baru atau wake up call kepada pengundi dan rakyat.

Pertama ialah pada tahun 2008 dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan kedua pada tahun 2018 semasa PRU-14.

Dalam PRU-12, Barisan Nasional (BN) kehilangan lima negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Manakala pada tahun 2018, dalam PRU-14, BN tewas kepada Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya sejak merdeka.

Pembaca mesti tertanya-tanya kenapa penulis menulis isu politik seperti seorang penganalisis politik, sedangkan penulis bukanlah orang politik?

Sebenarnya kita tidak sedar bahawa setiap manusia ini dilahirkan mempunyai ciri politik tersendiri. Cuma bezanya, kebanyakan manusia tidak ‘berparti politik’ yang menjadikan mereka seorang politikus yang bergelar orang politik.

Sebagai rakyat sebuah negara yang bersifat progresif, kita wajib mengambil tahu perkembangan situasi politik negara dan dunia kerana sistem pemerintahan negara seperti Malaysia adalah bersifat demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Masa depan kita dan negara sangat bergantung kepada kekuatan dan hala tuju parti politik yang memerintah dan pembangkang yang menjadi pengimbang kepada sistem pentadbiran negara.

Lebih-lebih lagi kita yang bergelar usahawan, sebarang bentuk dasar dan pelaksanaan kerajaan akan memberi kesan kepada persekitaran perniagaan kita.

Penulis mengiringi Dr. Mahathir Mohamad ketika program Hala Tuju Pertanian Negara Menjelang Tahun 2020 sebelum PRU-13 pada tahun 2013. Tun M sudah menampakkan bibit-bibit tidak puas hati dengan pemimpin BN tetapi hanya bertindak untuk tidak menyokong sepenuhnya beberapa tahun selepas itu.

Sejak kecil penulis memang sudah terdedah dengan persekitaran politik tanah air kerana kecenderungan keluarga bergiat aktif dalam politik tempatan, gerak kerja kemasyarakatan dan bergaul dengan golongan politik bagi tujuan pembangunan negara.

Ada dalam kalangan keluarga penulis berkhidmat secara terus sebagai setiausaha kepada dua orang Menteri kanan pada era Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ke-4 dan seorang lagi dengan Menteri kanan juga ketika zaman Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Pernah juga penulis ditawarkan jawatan politik oleh Menteri Kanan pada tahun 1990an ketika berusia terlalu muda tetapi penulis menolaknya kerana mahu menumpukan kejaya sebagai usahawan.

Hasil bergelumang secara langsung dan tidak langsung dalam politik ini, sedikit sebanyak membolehkan penulis memahami realiti politik, seni politik, sepak terajang politik dan kadangkala dapat meramalkan masa depan politik.

Ketika era Tun Abdullah Badawi, penulis pernah mengingatkan sesuatu yang akan berlaku pada tahun 2008 kepada tokoh-tokoh politik yang berada di sekeliling Pak Lah. Suratan atau kebetulan, maka berlakulah Tsunami 2008.

Pada tahun 2013, sebaik sahaja BN memenangi PRU-13, penulis seringkali diajak bersembang tentang masa depan politik negara oleh seorang Ketua Menteri. Paling ketara ialah dalam satu perbualan di bilik suit hotel beliau ketika melawat Tawau, Sabah.

Apabila ditanya apakah akan berlaku selepas PRU-13, penulis meramalkan tanda-tanda kejatuhan kerajaan BN, walaupun BN masih boleh berkuasa dan baru menang dalam PRU-13.

Antaranya, penulis menjelaskan dengan panjang lebar tentang gerak geri dan pemikiran Dr. Mahathir yang boleh menjadi faktor kekalahan BN pada pilihan raya berikutnya.

Begitu juga sentimen rakyat tempatan setiap kawasan seluruh negara termasuklah di Sabah dan Sarawak dengan isu tanah adat dan keperluan warga tempatan. Jurang ekonomi kaya dan miskin (golongan politik yang terlalu kaya seperti di Sabah dan sarawak) menjadikan pilihanraya PRU 14 akan mengubah landskap politik negara.

Ketua Menteri berkenaan amat menerima pandangan penulis, malah turut merasakan firasat yang hampir sama. Maka beliau mengajak penulis untuk bersama menjayakan pembangunan setempat terutama membasmi kemiskinan dan pembangunan generasi muda.

Penulis tetap menghormati dan mengunjungi Najib Tun Razak selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Walaupun beliau menerima pandangan penulis dengan hati terbuka, namun malaun yang menjadi orang politik cari makan di keliling Ketua Menteri ini menjadi penghasut hubungan baik penulis dengan Ketua Menteri berkenaan yang menganggap penulis sudah pro Dr. Mahathir. Maka termakan juga hasutan mereka oleh Ketua Menteri berkenaan.

Apa pun, Ketua Menteri dan malaun akhirnya tertonggeng dalam PRU-14.
Begitu juga penulis sering menegur pentadbiran kerajaan era Najib supaya menyelesaikan banyak keresahan rakyat.

Seperti biasa, beliau sebenarnya sangat ok tetapi yang berada di sekelilingnyalah yang berasa angkuh dan memandang rendah pandangan seperti penulis yang menjadi suara NGO serta rakyat

Namun begitu, setelah tumbang BN pada PRU-14, penulis masih menghormati dan mengenang jasa besar Najib dalam membangunkan negara era generasi pasca 2020. Sesekali penulis tetap menyapa dan menziarahi keluarganya.

Menjelang PRU-14, penulis ditawarkan untuk bertanding di atas tiket PH kerana kebetulan kebanyakan mereka yang ada dalam PH seperti Bersatu adalah sahabat-sahabat baik penulis.

Setelah analisis dibuat, penulis menolaknya kerana percaya kerajaan PH tidak akan mampu bertahan lama sebagai pemerintah. Maka benarlah ramalan penulis kepada banyak pihak bahawa PH akan bertahan paling lama dua tahun selepas menang PRU-14.

Satu peristiwa yang sangat tidak dilupakan ialah ketika beberapa hari sebelum hari mengundi dalam PRU-14 yang lalu. Penulis dijemput oleh orang-orang kuat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, untuk membincangkan mood pengundi yang akan keluar mengundi beberapa hari sahaja lagi.

Penulis memberitahu bahawa Zahid akan menang di Bagan Datuk dengan majoriti yang tidak begitu besar tetapi BN akan kalah di peringkat nasional dalam PRU-14. Perak diramalkan tumbang.

Perbincangan tersebut diatur oleh sahabat penulis bernama Hasan Hamzah, bekas Naib Ketua Bahagian UMNO Bagan Datuk, di sebuah kedai kopitiam di Teluk Intan.

Sekumpulan jaguh yang mengaku orang kuat Zahid naik angin kepada penulis apabila penulis menyebut BN akan kalah. Malah menuduh penulis sudah terpengaruh dengan PH. Penulis hanya tersenyum bila mereka mengatakan mereka yakin BN akan menang bergaya.

Kemuncaknya ialah bila Hasan menghantar gambar Zahid bergambar kenangan dengan anggota polis trafik yang mengiringi beliau balik ke Kuala Lumpur dengan menaiki helikopter, penulis sudah dapat merasakan tanda-tanda kekalahan BN akan berlaku pada malam tersebut. Akhirnya betul berlaku.

‘Macai’ yang menghentak meja di kopitiam Teluk Intan yang mengaku kononnya sudah melakukan risikan politik seluruh negara sebelum PRU-14 tidak mahu mengangkat telefon lagi kerana takut kena kutuk dengan penulis.

Penulis bukanlah ahli nujum tetapi ramalan yang tepat itu adalah berdasarkan kajian, pengamatan dan maklum balas rakyat bila bergaul dengan mereka.

Jangan lupa juga pandangan orang lama dalam politik kerana mereka mahir dalam seni membaca gerak-geri politik. Kadangkala kita kena dengar analisis mereka.

Bagaimanakah pula PRU-15 yang mungkin berlaku dalam masa terdekat atau hingga tamat penggal pemerintahan?

Tanpa perlu diulas panjang, jawapannya ialah rakyat sudah muak dan meluat dengan situasi politik hari ini. Lebih-lebih lagi di saat rakyat sudah terbeban dengan kesengsaraan ekonomi akibat Covid-19.

Rakyat sudah dapat menilai baik buruk BN, kegagalan PH dan situasi PN. Rakyat tidak nampak satu perubahan sebenar berlaku kerana semuanya berlegar dalam kolam yang sama dengan pemain yang sama.

Maka sudah kedengaran rakyat mahukan benar-benar perubahan baru ke arah Malaysia yang lebih baik pada masa depan. Mungkinkah rakyat Malaysia akan menolak semua yang sedia ada dengan kaedah baru yang berasaskan calon terbaik?

Mungkinkah kelompok baru dengan parti baru yang belum teruji akan diberi kepercayaan? Apakah calon bebas juga akan memenangi kawasan pilihanraya?

Dalam satu keadaan yang lebih ekstrem, Malaysia mungkin menjadi seperti politik Indonesia selepas Suharto? Selepas Suharto, rakyat Indonesia berada dalam keadaan tercari-cari kaedah dan ketokohan pemimpin yang perlu menerajui Indonesia.

Keadaan menjadi agak kurang stabil untuk satu tempoh tertentu hinggalah ketika era Susilo Bambang Yudiyono dan Jokowi hari ini yang memperlihatkan politik Indonesia yang lebih matang, stabil dan mampu memacu pembangunan Indonesia baharu.

Persoalan penulis di atas, perlu direnungi oleh rakyat Malaysia, jika mahukan masa depan negara yang lebih baik berteraskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Semua persoalan di Malaysia yang penulis lontarkan adalah berteraskan suara-suara rakyat yang kedengaran ketika ini. Jika tidak tepat 100 peratus, mungkin ramalan penulis tepat lebih 90 peratus.

Penulis pernah meramalkan Tsunami Melayu dalam PRU-14 yang disiarkan oleh akhbar Buletin Rakyat yang diterajui Norzah Kepol. Akhirnya, itulah yang berlaku pada tahun 2018 dalam PRU-14.

Apakah akan berlaku gelombang tsunami yang lebih besar dalam PRU-15?

Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan