36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Peranti elektronik dipasang pada tubuh pesakit COVID-19

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Individu-individu yang didapati positif COVID-19 tidak dapat lagi bergerak bebas mulai 11 Mac ini kerana peranti pengesanan elektronik akan dipasang pada diri mereka.

Mereka merupakan salah satu daripada tiga kategori yang diwajibkan memakai peranti tersebut di bawah peruntukan baharu dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021 yang berkuat kuasa pada tarikh tersebut.

Dua lagi kategori melibatkan individu dalam siasatan (PUI) atau kontak rapat pesakit COVID-19 dan individu dalam pengawasan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan bersama, hari ini.

Arahan pemakaian peranti pengesanan tersebut terkandung dalam Seksyen 15A ordinan berkenaan.

“Peruntukan baharu ini bagi membolehkan penggunaan peranti pengesan dengan teknologi terkini untuk mengawal pergerakan orang yang dijangkiti atau mereka yang disyaki telah dijangkiti penyakit berjangkit atau kontak kepada kes, dan telah diarahkan oleh pegawai diberi kuasa untuk menjalani pengasingan bagi pengawasan dan pemerhatian.

“Walau bagaimanapun, pemakaian gelang tangan atau gelang pengawasan yang digunakan semasa wabak COVID-19 ini dikuatkuasakan di bawah peraturan 9(3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No.9) 2020.

“Di bawah Ordinan ini, penalti akan dikenakan ke atas individu yang dipakaikan peranti pengesanan atau alat pengesanan ini sekiranya alat tersebut dimusnahkan, dirosakkan, dihilangkan atau diubah,” jelas kenyataan tersebut.

Setakat ini, belum diketahui bagaimana rupanya peranti pengesanan yang bakal digunakan dan jumlah denda yang dikenakan terhadap pesalah di bawah Seksyen 15 A.

Mungkin langkah itu terpaksa diambil ekoran perbuatan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab melanggar prosedur operasi standard berkaitan perintah kuarantin.

Sebelum ini, individu-individu yang dikuarantin dimestikan memakai gelang berwarna merah jambu untuk memudahkan pihak berkuasa dan orang ramai mengenal pasti mereka sekiranya berada di tempat awam.

Mulai 11 Mac juga, kompaun maksimum RM100,000 boleh dikenakan terhadap mana-nama pihak yang ingkar arahan SOP termasuk yang melibatkan syarikat dan perbadanan. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan