32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, September 24, 2021

Ada pihak membeli-belah demi pertahan kuasa

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyindir perbuatan pihak tertentu yang sedang giat ‘membeli-belah’ di sana-sini demi mempertahankan kuasa mereka.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, mereka juga cuba melakukan apa sahaja untuk mengaburi mata rakyat.

Namun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu, rakyat kian celik dan akhirnya mereka terpaksa kembali bertemu jua dengan UMNO dan BN dalam penentuan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Apabila tiba saat itu, saya seru seluruh penyokong dan ahli UMNO/BN jangan kecundang lagi dengan muslihat lawan.

“Cukuplah apa yang sudah kita lalui sejak 9 Mei 2018. Sejarah mendewasakan. Pengalaman sepatutnya mematangkan.

“Kita kembali bertaut. Negara perlu diperkasakan semula sebelum terlewat. Kemakmuran hidup rakyat perlu diperteguhkan sebelum bertambah parah,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa kekalahan pada PRU-14 telah banyak mengajar dan menginsafkan UMNO dan BN.

“Bukan kita tidak pernah cuba bertahan, tetapi apakan daya mereka mengharapkan guruh di langit, air tempayan dicurahkan,” jelasnya.

Beliau menambah, selepas lebih tiga tahun berlalu, kini semua pihak mempelajari apakah maknanya apabila UMNO dan BN tidak lagi mengemudi pentadbiran negara.

Ahmad Zahid memberitahu, kesannya dapat dilihat dari segi kebajikan rakyat, keadaan ekonomi, kedaulatan undang-undang, hubungan kaum, keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan amalan demokrasi.

Baca juga:   PM, jemaah menteri kekal jalankan kuasa eksekutif
Baca juga:   PAU2020: Biarlah kita umpama 'carik-carik bulu ayam'

“Akan tetapi saya percaya sebahagian rakyat yang pernah menolak kita pada PRU-14 juga telah menyedari natijahnya walau masih ada segan dan silu.

“Kini peranan kita adalah berlapang dada. Sedangkan lidah lagi tergigit. Hulurkan tangan kepada mereka. Kembali berpadu atas nama kebenaran,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau meminta agar jangan disama ertikan rakyat dengan katak si katak lompat dan jangan disamakan mangsa dengan pemangsa.

“Saudara saudari ahli serta penyokong UMNO dan BN sekalian. Kita perlu mengakui segelintir kita turut terperangkap dengan helah dan tipu daya politik PRU-14.

“Terperangkap dengan psikologi lawan mempermainkan sentimen dan emosi ahli serta penyokong UMNO/BN untuk menumbangkan parti sendiri,” katanya.

Beliau juga masih ingat cerita tentang ceramah lawan politik di kawasan-kawasan yang dianggap kubu kuat UMNO dan BN ketika itu.

“Mula-mula mereka memburuk-burukkan para pemimpin UMNO/BN dengan pelbagai tuduhan dan dakyah.

“Kemudian penceramah mula ‘bersajak’ memukau pendengar kononnya mereka bukan mahu menghancurkan UMNO, sebaliknya mahu menyelamatkan UMNO/BN.

“Berpidato kononnya jika mereka menang, parti UMNO/BN akan diselamatkan oleh pemimpin kerajaan baharu,” jelasnya.

Ahmad Zahid dimaklumkan, ucapan-ucapan yang penuh dengan kepuraaan dan hipokrit itu mendapat tepukan gemuruh para hadirin.

Namun, kata beliau, hakikatnya selepas tewas, UMNO dan BN malah dihina, dikeji dan cuba dihapuskan secara total oleh mereka.

“Mujur sebahagian pemimpin UMNO/BN yang telah diilustrasikan dengan begitu jahat tidak tahu erti mengalah.

Baca juga:   PATI Bukit Malut terjun laut elak kena cekup
Baca juga:   Andainya PN tumbang nanti, mampukah Gerakan kekal setia?

“Tetapi kita maklum karma kemenangan pilihan raya dengan tipu daya, pembohongan dan fitnah tiada maruah apatah keberkatan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

37,144 remaja di Johor sudah menerima vaksin

JOHOR BAHRU - Seramai 37,144 remaja sudah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan...

Lagi Artikel Berkaitan