24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Parlimen tidak bersidang semula 8 Mac 2021

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Desas-desus kononnya Parlimen akan bersidang semula pada 8 Mac ini seperti yang tular dalam media sosial adalah tidak benar.

Perkara itu disahkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan malam tadi.

“Takwim Persidangan Parlimen yang tular pada ketika ini adalah takwim asal Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Rakyat sebelum pengisytiharan darurat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Berdasarkan Perenggan 14(2) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, mana-mana Mesyuarat Parlimen yang telah dipanggil sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Ordinan ini tetapi belum diadakan adalah dibatalkan.

“Oleh yang demikian, takwim asal tersebut tidak lagi terpakai,” jelas kenyataan tersebut.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadzil Shamsuddin berkata, sidang Parlimen boleh diadakan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

“Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Advertisements

“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa perkenan Yang di-Pertuan Agong kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menjelaskan, pilihan raya tidak akan diadakan di negara ini sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa seiring dengan kehendak rakyat yang tidak mahu penularan COVID-19 menjadi tidak terkawal.

Beliau berkata, ketetapan itu merangkumi pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK).

Menurut Muhyiddin, pandemik COVID-19 merupakan punca utama beliau tidak menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen walaupun terdapat pihak yang mendesak supaya pilihan raya diadakan.

“Keputusan untuk tidak mengadakan pilihanraya semasa pandemik COVID-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs.

“Dalam konteks ini, adalah menjadi kewajipan saya sebagai ketua kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara dan saudari sekalian daripada jangkitan COVID-19. Ini adalah kemaslahatan paling utama yang dituntut oleh agama Islam,” katanya dalam pengumuman khas darurat yang disiarkan pada 12 Januari lalu. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan