24.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Darurat tak bermakna saya boleh duduk lama jadi PM – Muhyiddin

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Perisytiharan darurat sama sekali tiada kaitan dengan politik atau untuk membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri sebaliknya langkah itu bagi membolehkan isu COVID-19 diuruskan secara berkesan dan segera.

Ketika menjelaskan kedudukan sebenar darurat yang diisytiharkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Perdana Menteri, Muhyiddin berkata, beliau tetap berpegang pada janji bahawa darurat akan ditamatkan lebih awal daripada tarikh 1 Ogos jika pandemik COVID-19 berjaya dibendung.

“… Kalau boleh selesai awal (dan) jawatankuasa khas bebas yang ditubuhkan kata dah boleh (tamat), saya ikut sahajalah… Kita pun tak nak selama-lama dikongkong oleh peraturan sebegini,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian ketika wawancara khas bersama Bernama dan beberapa organisasi media sempena setahun beliau memegang jawatan perdana menteri di kediamannya di Bukit Damansara, di sini.

Muhyiddin berkata, melalui Ordinan Darurat, kerajaan boleh mencadangkan pindaan-pindaan terhadap beberapa akta atau perkara-perkara baharu yang ingin dibuat dalam bentuk ordinan tanpa menunggu proses melalui Parlimen dan mengambil masa yang lama.

“Jadi saya sebutkan ini bukan makna darurat tu untuk darurat supaya saya boleh duduk lama jadi Perdana Menteri, saya pun tak tahu parti mana sekarang yang mempunyai jumlah kerusi yang lebih besar daripada saya, dulu adalah contoh nak tunjukkan tapi tak terbukti.

“Saya yakin bahawa saya mempunyai sokongan yang besar. Saya yakin kedudukan saya ini mengikut Perlembagaan. Sah di sisi undang-undang. Saya tak boleh duduk sebagai Perdana Menteri haram. Saya buat kerja betul, tu sebabnya. Jadi saya tak bimbang itu.

“Tapi pengisytiharan darurat ni bukan soal politik, ada orang politik faham sebab politik, tidak. Politik tiada penggunaan darurat, tapi COVID ini perlukan darurat… Jadi saya harap rakyat faham, bukan pasal soal takut tak dapat majoriti di Parlimen,” katanya.

Advertisements

Muhyiddin berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan bila tiba masa yang sesuai kerana apa yang penting sekarang ialah kerajaan perlu menyelesaikan isu pandemik COVID-19 terlebih dahulu yang sehingga kini menjangkiti hampir 300,000 orang di seluruh negara dan menyebabkan lebih 1,000 kematian.

“… yang mustahak kita selesaikan ini (COVID) dahulu, apabila selesai, saya tak nak tunggu sehari pun…bukan kita bimbang apa-apa pun…,” katanya.

Jangkitan COVID-19 mula melanda negara pada 25 Jan tahun lepas dengan gelombang pertama melibatkan kes-kes import manakala gelombang kedua pada akhir Februari 2020. Kes jangkitan COVID-19 memasuki gelombang ketiga pada pertengahan September 2020 selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

Berikutan kes gelombang ketiga yang sehingga kini melonjak naik dari puluhan ke ribuan kes sehari, Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Pada 12 Januari, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos.

Proklamasi darurat itu adalah sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan, yang akan mengesyorkan kepada Seri Paduka sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan