24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Mampukah Zahid bertahan, tersingkirkah Annuar Musa?

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

SOAL hubungan antara UMNO dengan Bersatu ternyata mewujudkan keretakan di dalam UMNO.

Bukan rahsia lagi, parti yang mempunyai lebih 3 juta ahli itu kini berantakan. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah mengutus surat kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia bagi memaklumkan UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15, kata Ahmad Zahid dalam surat tersebut ia adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Janda Baik, pada 19 Februari.

Tetapi entah mengapa, keputusan UMNO itu tidak diumumkan secara rasmi oleh UMNO walaupun surat sudah diutus kepada Muhyiddin. Pendirian UMNO itu hanya terdedah apabila bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa melaui Facebook meminta penjelasan Ahmad Zahid berhubung surat berkenaan.

Itupun tiada kenyataan rasmi dibuat, sebaliknya hanya sumber mendedahkan kepada beberapa media bahawa perkhabaran mengenai surat itu adalah betul. Agak aneh apabila keputusan yang begitu penting tidak diumumkan secara rasmi melalui UMNO.

Timbul persoalan adakah keputusan itu benar-benar dibuat oleh MKT secara sebulat suara atau ia keputusan ‘separuh masak’ – memandangkan khabarnya sebahagian pemimpin kanan UMNO tidak bersetuju dan meminta supaya perkara itu diteliti dengan sebaik-baiknya sebelum sebarang pendirian dibuat.

Selain itu, difahamkan juga walaupun Ahmad Zahid sudah mengutus surat kepada Muhyiddin tetapi dalaman UMNO masih berbelah bahagi. Dan tidak mustahil keputusan boleh menjadi sebaliknya menjelang PRU-15.

Kedudukan Ahmad Zahid sendiripun dikatakan semakin goyang. Beliau menerima tekanan untuk berundur atau berehat seketika berikutan kes mahkamah yang dihadapi. Tetapi setakat ini Ahmad Zahid dilihat tidak mahu mengalah.

Melalui media sosialnya, Ahmad Zahid terus membuat kenyataan termasuk menyindir mereka yang dianggap ‘broker yang menjadi jurucakap’ dengan tujuan menguasai UMNO.

Advertisements

Semua orang tahu kenyataan itu ditujukan kepada Annuar yang dilihat semakin lantang dan berani mempersoalkan gerakan dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO mahu membuat ‘penjajaran baharu’ yang dikatakan melibatkan kerjasama dengan PKR dan DAP.

Persoalannya siapakah antara dua pemimpin ini akan tersingkir atau disingkirkan? Dari segi kuasa memanglah Ahmad Zahid ada kuasa, kritikan demi kritikan yang dilakukan oleh Annuar boleh dijadikan asas untuk mengambil tindakan terhadap beliau.

Tetapi setakat ini Ahmad Zahid hanya setakat ‘menyindir’ sahaja, belum nampak tanda-tanda beliau akan bertindak ke atas Annuar seperti menggantung keahlian Ahli Parlimen Ketereh itu. Bagaimanapun Annuar mungkin tidak dicalonkan dalam PRU-15 nanti, siapa tahu?

Namun begitu, beberapa isu melibatkan Ahmad Zahid khususnya isi kenyataan media berkaitan sidang Parlimen yang hampir sama dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedikit sebanyak menjejaskan Presiden UMNO itu walaupun ia dikatakan disebabkan ‘kekhilafan’ Ketua Media BN yang digantung tugas selama sebulan.

Apatah lagi sehingga kini Ahmad Zahid tidak menyatakan dengan jelas dan terbuka, apakah penjajaran baharu itu melibatkan soal kerjasama dengan PKR dan DAP seperti mana didakwa oleh Annuar?

Justeru dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO, mereka belum nampak ke arah mana hala tuju dalam parti dalam PRU-15, walaupun Ahmad Zahid kata hala tuju sudah jelas iaitu memperkukuhkan UMNO dan memperkasakan BN.

Namun mereka tetap ragu kerana bimbang selepas PRU-15, UMNO berada dalam kedudukan, ‘’yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’’ lebih teruk kalau ‘’lari mulut buaya masuk mulut harimau.’’

Sebab itu ‘sudah ada bunyi-bunyi’ supaya UMNO mengadakan pemilihan parti sebelum PRU-15, kenapa? Semua orang boleh menekanya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan