26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kerteh FC tampil dengan wajah, semangat dan azam baharu

Mesti Baca

KERTIH – Juara berganda Liga Amatur Terengganu 2019, Kerteh FC mengharungi musim 2021 dengan perubahan wajah sambil membawa semangat dan azam baharu.

Walaupun sekadar bersaingan dalam M4 Liga Malaysia, namun mereka sedar nama Kerteh FC sudah mula dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan bahkan ke beberapa negara di Eropah dan Australia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC, Syed Khairi Amier, transformasi logo kelab komuniti itu adalah salah satu langkah yang terkandung dalam proses evolusi imejnya dalam usaha memperkukuhkan jenama kelab.

“Meskipun ia satu langkah yang drastik dalam usia kelab yang masih muda, namun kelab melihat ini satu keperluan utama bagi membawa jenama Kerteh FC menuju ke peringkat global dengan imej yang segar, elegan, terkini serta moden,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Beliau berkata, logo baharu yang moden tersebut bukan sekadar perubahan di permukaan semata-mata tetapi ia turut menyerap jiwa bandar Kertih dan para penduduknya.

Para pemain Kerteh FC giat menjalani latihan bagi mengharungi M4 Liga Malaysia musim 2021. – Foto Kerteh FC

Katanya, melalui penyelidikan yang mendalam, rakan kongsi kreatif Kerteh FC, INKA Creative telah melancarkan wajah dan identiti baharu tersebut bersama tenaga pengurusan kelab.

Syed Khairi berkata, Kerteh FC masih mengekalkan warna hijau sebagai warna kelab tersebut namun didatangkan dari sumber berbeza.

“Hijau gelap yang lebih formal diambil daripada warna rumput padang bola manakala hijau pendarflour atau fluorescent pula diambil dari warna keselamatan reflektif yang sering dilihat sekeliling bandar petroleum itu.

Tambah beliau, motif jalur baharu mengambil inspirasi dari paip-paip yang boleh dilihat di loji penapis minyak dan gas Kerteh.

Dalam pada itu, Syed Khairi berkata, beberapa elemen dari logo lama dikekalkan dan diberi nafas segar seperti huruf ‘K’ iaitu huruf pangkal daripada perkataan ‘Kerteh’ serta tahun penubuhan.

Syed Khairi berkata, susulan pelancaran wajah baharu itu, jersi utama, kedua serta jersi latihan kelab tersebut juga bakal berubah wajah namun belum dapat didedahkan lagi kepada umum.

“Insya-Allah, tiba masanya kita akan umumkan wajah baharu jersi-jersi kami. Harap semua peminat dan penyokong Kerteh FC bersabar,” katanya. – Edisi 9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf sebagai Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan