28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

UMNO dan PPBM sukar tidur sebantal, mimpi lain-lain

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sukar untuk tidur sebantal kerana kedua-dua parti mempunyai mimpi yang berbeza.

Sehubungan itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan pendirian agar parti itu menarik sokongan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebaik sahaja paluan gendang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bermula.

Menurut beliau, UMNO dan PPBM banyak bertembung dari segi kepentingan dan atas sebab itu kedua-dua parti sukar mengadakan kerjasama dalam PRU.

“Sudah tentu keputusan ini memberikan pelbagai implikasi politik kepada orang Melayu.

“Namun, Wanita UMNO berpandangan, kita harus terus bersama dengan keputusan yang telah dibuat oleh akar umbi dan kepimpinan parti,” katanya.

Noraini berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO dalam Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2020 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau turut menegaskan kembali pendirian Wanita UMNO yang menyokong keputusan Majlis Tertinggi parti menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.

Noraini menambah, UMNO harus memikirkan kelangsungan atau survival parti demi mempertahankan agenda Melayu Islam di negara ini.

“UMNO, sebagai parti keramat orang Melayu mempunyai satu tanggungjawab yang besar untuk meluruskan kembali jalur politik negara,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi memberitahu, jalur politik itu penting, kerana UMNO bukanlah pengkhianat.

Noraini berkata, walaupun UMNO tewas, parti tetap menggunakan ruang itu untuk bangkit kembali diterima rakyat.

“UMNO tewas – tetapi komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN tetap setia.

“UMNO tewas – tetapi hubungan bersama PAS yang dahulunya tidak sehaluan kembali pulih setelah penyatuan ummah digerakkan.

“Tetapi UMNO tidak pernah terkubur, apatah lagi dikatakan lemah sehingga dilihat boleh diperguna serta diperkotak-katikkan sesuka hati,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan jalur tersebut umpama benang yang basah yang bukan mudah untuk dilentur lurus.

“Kalau kita cekal berusaha, jalur politik ini akan kembali kepada asasnya – asas yang disantuni oleh pejuang-pejuang yang telah memimpin negara ini terbina dengan gemilangnya.

“Pemimpin-pemimpin ini bukanlah datang dari luar – tetapi mereka lahir daripada parti yang menjadi azimat sejak sekian lama,” katanya.

Noraini berkata, Wanita UMNO menegaskan dan mahukan kepimpinan parti untuk terus tegas dalam memastikan parti ini kembali memimpin.

“Bukan kerana kuasa, bukan kerana kerusi. Tetapi, parti keramat ini perlu mendominasi, untuk kesejahteraan rakyat, yang sekian lama telah terbukti.

“Jangan sesekali, benarkan kerusi yang penat jerih wanita dan jentera parti menangi, diberikan lagi kepada pengkhianat yang telah lompat parti!” tegasnya.

Beliau juga mengibaratkan UMNO seperti dara pingitan di mana ramai yang mencuit dan ramai juga yang mengenyit.

“Tapi ingat! Saya ingin tegaskan, UMNO hanya akan menerima dan bekerjasama dengan mereka yang boleh menerima falsafah dan perjuangan parti keramat ini,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan