26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 20, 2021

Najib tak setuju Tok Mat samakan UMNO dengan Liverpool

Mesti Baca

Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini tidak bersetuju dengan ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana menyamakan UMNO dengan kelab bola sepak Inggeris, Liverpool.

Najib yang juga penyokong fanatik Manchester United berkata, beliau bimbang jika UMNO seperti Liverpool ia akan mengambil masa sehingga 30 tahun untuk kembali berkuasa.

Malah, kata bekas Perdana Menteri itu, selepas setahun kembali berkuasa akhirnya kelab tersebut hanya berkeliaran di pertengahan liga.

“Tok Mat (Mohamad) boleh pilih kelab lain untuk digunakan sebagai contoh tak? Bukan apa. Sebab saya tak sanggup tunggu 30 tahun untuk saksikan UMNO berkuasa semula dan lepas itu berkeliaran di mid-table setahun selepas menang,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Liverpool kembali menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim lalu selepas 30 tahun berusaha untuk mendakapnya.

Namun, skuad bimbingan Jurgen Klopp itu jatuh menjunam musim ini apabila menduduki tangga ketujuh liga dengan sembilan kekalahan dan tujuh kali seri daripada 29 perlawanan setakat ini.

Walaupun begitu, bekas Presiden UMNO itu memuji ucapan Mohamad yang padat dan tepat termasuk isu pengkhianat dan musuh dalaman parti.

Baca juga:   Mana janji MB Terengganu tangguh sewa premis perniagaan?

“Pada pendapat saya, ucapan Timbalan Presiden UMNO pagi ini adalah padat dan tepat – termasuk part yang dia suruh parti tolak pengkhianat dan musuh dalaman serta pihak-pihak luar tidak perlu ajar UMNO tentang penyatuan ummah,” katanya.

Baca juga:   Pengorbanan hebat Ahmad Zahid, Najib demi UMNO

Dalam ucapannya, Mohamad berkata, mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan UMNO mesti meyakini kemampuan parti itu untuk menjadi pengemudi induk.

Tegas beliau, UMNO bukan pemain kedua, yang sekadar dikutip untuk memenuhi kuota atau bilangan kerusi yang diperlukan.

“Tidak ada mana-mana pihak ataupun individu, yang boleh memberitahu, atau mengarahkan UMNO, tentang bagaimana dan dengan siapa, kita harus berunding untuk membentuk sebuah kerajaan.

“Tetapi buat waktu ini, biarlah UMNO memilih, untuk memperlihatkan kekuatan sebenarnya, sebagai parti politik, dengan keunggulan tersendiri, tanpa mengorbankan kepentingan strategiknya,” katanya.

Ini bermakna, tegasnya, UMNO tidak akan memperjudikan mana-mana kerusi UMNO kepada parti lain semata-mata untuk memberi talian hayat kepada mana-mana pihak.

“Jangan ada yang cuba untuk mengilas tangan UMNO. Kita tidak akan mengalah. Kita tidak akan melatah. UMNO tidak akan terpedaya, dengan retorik kepentingan ummah, dan perpaduan Melayu, yang dibuat-buat.

“Perpaduan ummah dan penyatuan Melayu, mesti dipimpin oleh UMNO. Ia bukan umpan undi yang ditabur oleh pendusta politik, yang bernaung dengan ‘kuasa tanpa mandat’ dan tanpa kekuatan sebenar,” katanya. – Edisi 9

Baca juga:   Pemuda hormati keputusan mahkamah, Nazir anggap Najib tetap PM terbaik

Terkini

1,365 tambahan dos penggalak diberikan setakat semalam

SEBANYAK 1,365 dos penggalak vaksin COVID-19 diberikan kepada kumpulan sasar dengan jumlah kumulatif terkini mencecah 32,121 berdasarkan data menerusi...

Lagi Artikel Berkaitan