31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Buat apa yang orang lain tak buat, atau…

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

SEMALAM penulis berbual dengan seorang sahabat yang juga pengasas kelab bola sepak yang sedang menjadi bualan, Kerteh FC dan bagaimana beliau berusaha untuk mengubah mentaliti masyarakat mengenai bola sepak dan perniagaan.

Yelah, sejak sekian lama masyarakat negara ini termasuk para peminat dan penyokong bola sepak sudah melekat dalam fikiran bahawa bola ada sukan dan riadah, bukannya perniagaan. Apatah lagi bagi masyarakat luar bandar.

Beliau yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan melalui sebuah parti politik namun banyak perkara yang beliau mahu lakukan untuk mengubah nasib masyarakat terhalang dik mentaliti orang kita yang tidak berani atau enggan mencuba.

Sebagai contoh, katanya, beliau cuba untuk mengubah cara organisasinya membantu masyarakat. Selama ini bertahun-tahun kita membantu golongan memerlukan dengan menghulurkan wang tunai atau barangan keperluan.

“Sampai bila kita perlu menyuap ke mulut mereka dengan bantuan seperti ini? Sampai anak cucu mereka? Sedangkan mereka tetap sama. Hidup dalam kemiskinan dan mengharapkan bantuan tiba setiap masa,” kata beliau.

Penulis faham apa yang beliau mahukan dan apa yang diharapkan. Dalam hal ini penulis juga sudah beberapa kali berdepan dengan kata-kata “orang tidak buat macam tu” apabila penulis melontar beberapa idea untuk memajukan kampung kelahiran penulis.

“Orang tidak buat macam tu” bermakna kita tidak boleh buat perkara-perkara yang orang lain tidak buat. Jika demikian sampai bila kita mahu menjadi masyarakat pencipta (creator) dan bukan lagi sekadar pengikut (follower)?

Apabila penulis membuka sebuah galeri seni 3D di Kertih, sebuah pekan kecil yang lebih terkenal sebagai bandar minyak dan gas, ramai yang bertanya kenapa membuka galeri sedemikian di sini dan bukannya di lokasi yang sudah menjadi tumpuan pelancong?

Sebabnya penulis mahu “buat apa apa orang lain tak buat” dan mahu mencipta suasana baharu bagi kampung halaman penulis.

Benar, membuka galeri 3D dengan modal sendiri di sebuah bandar yang ‘tiada apa-apa” banyak cabaran apatah lagi dengan harga barang di sini begitu tinggi berbanding di tempat lain, waima di Kuala Lumpur sekali pun.

Membuka galeri 3D di sebuah bandar kecil bukan suatu yang mudah namun untuk berjaya kita perlu buat apa yang orang lain tidak lakukan. – Sumber: Muzium 3D Kertih

Namun, bak kata pepatah orang lama “kalau tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya.”

Tetapi kata-kata bidalan itu tidak ramai yang menghayatinya apatah lagi mempraktikkannya. Mentaliti “orang lain tidak buat” benar-benar menghalang kita untuk melangkah lebih jauh.

Dalam usaha untuk mengubah nasib masyarakat, mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan, cara terbaik adalah melalui pendidikan anak-anak mereka.

Penulis amat berharap setiap organisasi yang ada terutama parti-parti politik mengambil anak-anak golongan terbabit, diberikan tuisyen percuma bagi mereka yang menghadapi peperiksaan utama baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Diberikan bimbingan dan didikan seperti ini dan andai mereka memperoleh nilai cemerlang dalam peperiksaan, bantulah mereka sehingga ke mereka boleh melanjutkan pengajian ke menara gading. Di sana, kita serahkanlah kepada pihak kerajaan untuk membantu mereka.

Insya-Allah, apabila mereka tamat pengajian mereka inilah yang akan membawa ibu bapa mereka keluar dari kepompong kemiskinan. Insya-Allah suatu hari kelak mereka yang dibantu ini akan kembali ke masyarakat dan membantu pula golongan seperti mereka.

Ayuhlah. Hentikanlah halangan mental “orang lain tidak buat maka kita jangan buat.”

Banyak sudah anak-anak muda diluar sana yang berjaya kerana menjadi pencipta kandungan (creator) dan lihat berapa banyak pula pengikut (follower) mereka.

Kalau mereka berjaya, kenapa kita tidak? Buang mentaliti lama. Kita boleh buat apa yang orang lain tidak buat dan bukannya kita tidak buat kerana orang lain tidak buat!

Lastik! – Dah buat macam-macam

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan