CYBERJAYA – Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu, Tourism Selangor mengesyorkan lima aktiviti yang boleh dilakukan oleh kaum wanita di pelbagai lokasi pelancongan sekitar Selangor.
Jalan-jalan cari makan keliling Selangor
Kepelbagaian kaum dan etnik di negeri tersebut turut menyumbang kepada kewujudan beraneka budaya dalam kalangan rakyatnya.
Sudah tentu, makanan pun macam-macam ada.
Kalau mahu makanan Cina dan India yang enak seperti nasi daun pisang, boleh datang ke Klang.
Mereka yang suka makanan laut segar dan masakan tradisional Melayu seperti nasi ambeng, mi udang, satay dan ketupan disyorkan berkunjung ke Kuala Selangor.
Rakam gambar dalam Instagram
Orang perempuan lebih-lebih lagi yang muda memang suka merakamkan kenangan semasa melancong dalam laman Instagram masing-masing.
Banyak lokasi pelancongan di sekitar Selangor yang sesuai untuk mereka berbuat demikian.
Contohnya, Sky Mirror, Kuala Selangor; Batu Caves, Gombak; i-City, Shah Alam; Mural Safari, Klang; Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan Sekinchan, Sabak Bernam.
Cuma kalau pergi ke masjid, jangan lupa berpakaian sopan dan menutup aurat.
Pekena kopi di kafe unik dan hipster
Memang berlambak kafe yang hipster lagi ‘cool’ di Selangor terutamanya sekitar Petaling Jaya, Cyberjaya, Sepang dan Subang Jaya.
Bukan setakat kopinya sedap, hiasan dalaman juga menarik.
Kalau ambil gambar masuk Instagram, ada can tarik banyak ‘like’.
Antara kafe yang sering menjadi tumpuan adalah Provision Café, Damansara; Tiny Baker In Pink Cafe, Damansara; Bukku Café, Klang; Jibby & Co Subang Jaya, dan The Botanist Café, Sepang.
Syoknya membeli-belah
Namakan apa sahaja yang ingin dibeli, anda pasti menemukannya di Selangor.
Tidak kisahlah sama ada di gedung beli-belah yang besar atau kedai tepi jalan.
Pokok-pangkalnya, mesti ada duit yang cukup untuk membeli barang yang dihajatkan.
Sebahagian pusat beli-belah yang sering menjadi lokasi tumpuan kaum hawa adalah Mitsui Outlet Park, KLIA; Pusat Borong GM Klang, Sunway Pyramid, Subang Jaya; Pusat Beli-Belah One Utama, Petaling Jaya dan The Curve, Damansara.
Meriahnya seni dan budaya Selangor
Pasti ramai kaum wanita yang menggemari aktiviti pelancongan berkonsepkan seni dan budaya yang begitu dekat dengan jiwa mereka yang lembut dan mencintai keindahan.
Selain aktiviti kebudayaan tradisional, Selangor juga sedang melonjak naik sebagai hab seni kontemporari di Malaysia.
Kalau mahu mencuci mata, silalah berkunjung ke Perkampungan Budaya Mah Meri, Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam, Galeri Diraja di Klang, Istana Bandar dan Tokong Dong Zen di Jenjarom.
Mereka yang ingin menyaksikan aktiviti warisan masyarakat Jawa boleh melawat Inap Desa Banghuris (persembahan cempuling) dan Inap Desa Sungai Haji Dorani (tarian kuda kepang). – EDISI 9
- Gambar-gambar disediakan oleh Tourism Selangor.