32 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Boleh tunai haji atau tidak tahun ini?, tanya PAPUH

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) masih menunggu keputusan kerajaan sama ada membenarkan jemaah dari negara ini mengerjakan haji pada tahun ini atau sebaliknya.

Hal ini kerana sehingga kini kerajaan belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenainya walaupun Malaysia berjaya mendapat tambahan 10,000 kuota haji ketika lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi baru-baru ini.

Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat membuat keputusan segera mengenai perkara itu bagi membolehkan ahli-ahlinya memulakan operasi dan persediaan bagi pakej-pakej haji swasta.

“Sekiranya pengumuman kebenaran mengerjakan haji diumumkan lewat, PAPUH khuatiri bakal jemaah haji tidak dapat diberikan vaksin Covid-19 yang memerlukan masa 28 hari selepas dos pertama diberikan.

“Selain vaksin Covid-19, jemaah haji juga perlu mengambil vaksin Meningitis, Influenza dan Pneumokokal seperti yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Ini akan mengambil masa lebih dari sebulan bagi melengkapkan kempat-empat dos vaksin yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

RAZALI MOHD SHAM

Razali berkata, tambahan yang diberikan kerajaan Arab Saudi itu meningkatkan jumlah kuota haji kepada 41,600 orang dengan mengambil kira ketetapan iaitu 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara berkenaan.

Beliau berkata, walaupun tambahan kuota haji hanya diluluskan selepas situasi haji kembali normal akibat pandemik Covid-19, rata-rata ahlinya amat bersyukur dengan pengumuman tersebut dan tidak sabar untuk memasarkan pakej haji swasta masing-masing kepada orang ramai.

“Ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam perniagaan masing-masing selepas hampir setahun menutup operasi.

“PAPUH yakin orang ramai tidak sabar untuk membeli pakej haji swasta walaupun pakej haji kali ini akan dikenakan dengan SOP yang ketat oleh kerajaan Arab Saudi,” kata beliau.

Sementara itu, PAPUH juga berharap kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan memberi kebenaran kepada hospital dan klinik swasta membantu kerajaan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya, PAPUH menaruh harapan yang tinggi agar kerajaan lebih prihatin membuka pintu sempadan semula dengan SOP yang ketat bagi membolehkan umat Islam di negara ini mengerjakan ibadah umrah pada bulan Ramadan ini.

“PAPUH yakin rata-rata rakyat Malaysia rindu untuk ke tanah suci Mekah dan Madinah setelah hampir setahun tidak dapat berbuat demikian.

Ahli-ahli PAPUH juga telah bersedia dengan menyediakan pakej Umrah Norma Baharu sekiranya pintu sempadan negara dibuka dengan mengenakan SOP yang ketat,” katanya. – Edisi 9

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan