MELAKA – Muafakat Ummah Melaka akan menganjurkan satu perhimpunan Pertahankan Kalimah Allah malam ini (Sabtu) di rumah Pengerusinya, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Perhimpunan itu adalah bagi mendesak kerajaan supaya segera mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Rabu lepas yang membenarkan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain.
Majlis perhimpunan yang akan diadakan di Dataran Baitul Tariq, Taman Klebang Permai, Klebang kira-kira jam 9.30 malam ini akan disertai UMNO Bahagian Tangga Batu, Pas Melaka, Isma, Veteran Tentera, Pekida dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Melaka.
Mohamad Ali berkata, perhimpunan tersebut yang akan diadakan secara aman di kediamannya adalah bagi menyatakan bantahan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Beliau berkata, seluruh NGO Islam di negeri ini memprotes dan membantah jika ada penganut agama Kristian di seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
“Muafakat Ummah Melaka memandang serius berhubung keputusan Mahkamah Tinggi apabila membenarkan pengunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Ini kerana kalimah Allah adalah hak eksklusif
hanya untuk orang Islam sahaja.
“Jangan sesekali mencabar umat Islam untuk menggunakan kalimah Allah. Kita sangat sensitif dan jangan cuba bangkitkan rasa marah seluruh umat Islam di negara ini. Hormatilah Islam kerana kami juga menghormati agama-agama lain di negara ini,” ujarnya.
Rabu lepas, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penganut Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.
Sementara itu Setiausaha Agung Muafakat Ummah Melaka, Mohd Najib Latip berkata, majlis perhimpunan itu telah dimaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan kesemua yang hadir akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kita hanya hadkan kehadiran seramai 300 orang sahaja dan semua yang dijangka hadir telah diarahkan untuk mematuhi SOP terutama mengambil suhu badan dan mendaftar dengan MySejahtera dan penjarakan sosial,” katanya.
Tegasnya, perhimpunan itu akan diadakan secara aman bertujuan untuk mendesak kerajaan agar mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi Rabu lepas. – EDISI 9