25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Ada usaha gagalkan daftar automatik pengundi 18 tahun?

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pemuda Barisan Nasional (BN) mendakwa ada usaha untuk menggagalkan pendaftaran pengundi 18 tahun ke atas secara automatik yang telah diluluskan secara sebulat suara di Parlimen.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyuarakan kebimbangan itu setelah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mendakwa terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan undi 18 tahun.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, perkara itu amat mengecewakan kerana Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019.

“Ini pastinya bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 3 November lalu yang menjelaskan di Parlimen bahawa pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook, hari ini.

Rais dikatakan berkata demikian dalam rancangan temu bual yang disiarkan Bernama TV malam semalam.

Gambar: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Asyraf Wajdi menambah, adalah tidak wajar untuk Yang Dipertua Dewan Negara yang juga pimpinan parti pemerintah mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap satu dalih bahkan cubaan meremehkan anak muda berumur 18 tahun ke atas untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Justeru Pemuda BN mendesak agar kerajaan segera menyatakan pendirian dan menjelaskan status perlaksanaan Undi 18 Tahun ini, agar rakyat terutamanya generasi muda tidak merasa terhina atau dikhianati dengan kenyataan bercanggah daripada pemimpin parti pemerintah,” jelasnya.

Advertisements

Undi 18 membolehkan warganegara berusia 18 tahun dan ke atas untuk mengundi setelah mendaftar sebagai pemilih secara secara automatik.

Rang undang-undang itu diluluskan 211 daripada 222 Ahli Parlimen pada 16 Julai 2019.

Ia seterusnya diluluskan oleh Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga 10 hari kemudian.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan media pada 7 Jun 2020 menyatakan, pendaftaran pengundi 18 tahun akan dilaksanakan serentak
dengan pendaftaran pemilih secara automatik setelah segala persiapan SPR diselesaikan.

Perkara itu termasuk penyediaan pindaan kepada Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) serta penyediaan sistem dan infrastruktur.

Menurut SPR, kesemua persiapan itu dijangkakan selesai selewat-lewatnya pada Julai 2021. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan