24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

3,170 kes baharu akibat kegiatan rentas negeri

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebanyak 3,170 kes rentas negeri (Import B) dikesan di seluruh negara mulai 1 Januari lalu sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes rentas negeri (Import B) merujuk kepada kes-kes jangkitan COVID-19 yang dilaporkan di sesebuah negeri namun dipercayai berpunca dari negeri lain akibat daripada aktiviti rentas negeri.

Menurut beliau, tiga negeri yang menunjukkan atau melaporkan bilangan kes import B tertinggi adalah Kedah sebanyak 714 kes (22.5 peratus), Perak sebanyak 582 kes (18.4 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 370 kes (11.7 peratus).

rentas

“Kluster-kluster rentas negeri turut menunjukkan peningkatan sejak gelombang ketiga bermula iaitu pada 20 September 2020.

“Kluster rentas negeri merupakan kluster yang melibatkan kes indeks atau kes pertama yang dikesan mendapat jangkitan COVID-19 dari negeri lain, dan seterusnya mengakibatkan penularan jangkitan tempatan.

“Berikutan peningkatan kluster-kluster rentas negeri ini, kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri bermula pada 13 Januari 2021,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham memberitahu, setelah larangan tersebut dilaksanakan selama beberapa bulan, pelaporan kes-kes baharu harian negara yang melibatkan kluster-kluster rentas negeri mula menunjukkan penurunan secara konsisten.

Beliau berkata, kluster terakhir yang dilaporkan sebagai kluster rentas negeri adalah pada 30 Januari 2021 iaitu Kluster Tersat di Terengganu.

Advertisements

Terdapat 31 kluster rentas negeri yang telah dilaporkan dengan tiga kluster yang masih aktif melaporkan kes iaitu Kluster Tembok Mempaga, Kluster Tembok Bukit Besi, dan Kluster Pasai.

rentas

“Kes-kes dan kluster-kluster rentas negeri ini bukan sahaja mengakibatkan penularan jangkitan COVID-19 kepada kawasan zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung halaman juga meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 kepada golongan rentan seperti golongan warga emas dan kanak-kanak.

“Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan semua pihak dan masyarakat umum, walaupun negara sedang menunjukkan tren penurunan kes sejak beberapa minggu ini, rakyat perlu sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan dalam semua keadaan bagi memastikan usaha-usaha yang telah dijalankan tidak menjadi sia-sia,” jelasnya.

COVID-19

Dr Noor Hisham menambah, ini termasuklah kepatuhan terhadap larangan merentas negeri kecuali jika ada perkara-perkara mustahak dan perlu mendapat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagi negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pergerakan rentas negeri adalah dibenarkan melalui Program Gelembung Pelancongan Domestik atau Travel Bubble yang membolehkan pelancong dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bergerak merentas ke negeri di bawah PKPP yang lain.

“Aktiviti tersebut tertakluk kepada SOP yang ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” jelasnya.

COVID-19

Beliau turut mengingatkan rakyat agar mengamalkan tindakan pencegahan sebagai norma baharu kehidupan seperti yang telah disarankan oleh KKM seperti penjarakkan sosial, menjaga kebersihan diri, dan memakai pelitup muka di tempat awam.

“Semoga dengan kerjasama seluruh rakyat Malaysia dan tindakan kesihatan awam yang sedang dijalankan, Malaysia dapat memutuskan rantaian COVID-19 dan bebas daripada pandemik ini,” ujarnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan