24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PKPD seluruh Keningau, mula esok hingga 4 April

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Seluruh daerah Keningau, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok hingga 4 April ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat peningkatan kes positif harian secara mendadak di daerah Keningau.

“Sebanyak 42 kes telah direkodkan hasil saringan secara bersasar di Kampung Lingkudau yang juga telah dilaksanakan PKPD,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, PKPD di Kampung Tanah Merah di Kota Marudu, Sabah akan tamat seperti yang dijadualkan esok.

Ismail Sabri menambah, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 65 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 26 kes positif telah direkodkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan kluster adalah terkawal,” jelasnya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, beliau berkata, seramai 100 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP dan daripada jumlah itu, seramai 97 orang telah dikenakan kompaun dan tiga direman.

Advertisements

“Antara kesalahan direkodkan adalah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (48), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (27), aktiviti pusat hiburan (12), tidak memakai pelitup muka (11) dan rentas negeri/ daerah tanpa kebenaran (2),” jelasnya.

Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 67,520 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKP.

Sebanyak 3,594 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 16,017 anggota telah membuat pemantauan di 4,773 pasar raya, 6,190 restoran, 2,870 penjaja, 1,979 kilang, 3,954 bank dan 685 pejabat kerajaan.

Turut dipantau, sebanyak 1,545 terminal pengangkutan darat, 393 terminal pengangkutan air serta 143 terminal pengangkutan udara.

Ismail Sabri menambah, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas sebanyak tujuh kenderaan darat dalam Op Benteng di seluruh negara semalam.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 39 buah bot/ kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan