29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Indeks Kesopanan Digital Malaysia merosot – Microsoft

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Microsoft hari ini mengumumkan keputusan edisi kelima tinjau selidik tahunannya yang bertajuk, “Kesopanan, Keselamatan, dan Interaksi Dalam Talian – 2020” bersama hasil penemuan daripada Indeks Kesopanan Digital (DCI) 2020.

Dalam satu kenyataan, kata Ketua Keselamatan Digital Serantau, Asia-Pasifik, Microsoft, Liz Thomas berkata, tinjau selidik tersebut meneliti sikap dan persepsi tentang tingkah laku dan interaksi dalam talian, dan juga meningkatkan kesedaran tentang kesan risiko dalam talian terhadap dunia sebenar.

Bagaimanapun, kata Liz , mata DCI Malaysia merosot berbanding 59 mata yang dicatatkan pada 2019 (lebih rendah lebih baik).

”Ini menunjukkan bahawa lebih ramai orang mengalami interaksi negatif atau menghadapi risiko di dalam talian. Risiko bagi pengguna dalam talian Malaysia yang mencatatkan paras tertinggi termasuk, kenyataan berbaur kebencian; meningkat 3 peratus kepada 24 peratus, pemalsuan, penipuan dan scam (memperdaya) meningkat 4 peratus kepada 24 peratus, dan diskriminasi; meningkat 2 peratus kepada 14 peratus,” katanya.

Kata Liz, Microsoft meninjau selidik 500 rakyat Malaysia, dan bertanyakan pendapat responden tentang pendedahan mereka kepada 21 risiko dalam talian berbeza yang meliputi empat kategori iaitu tingkah laku, seksual, reputasi, dan peribadi/gangguan.

LIZ THOMAS

Beliau berkata, hasil tinjauan mendapati Malaysia mencatatkan prestasi lebih baik daripada sebahagian besar rantau Asia-Pasifik (APAC) dari segi kesopanan dalam talian pada 2020, dengan 63 mata DCI berbanding 66 mata bagi APAC.

‘’Tinjau selidik tahunan Microsoft mengenai kesopanan digital penting dalam usaha kita meningkatkan kesedaran dan menggalakkan interaksi positif di dalam talian, lebih-lebih lagi pada masa-masa sukar ini.

‘’Walaupun rakyat Malaysia kini lebih bergantung kepada dan sedia menerima pakai teknologi digital berbanding masa lepas dalam suasana COVID-19 dan norma penjarakan sosial, kita semua mesti bersatu hati untuk mewujudkan Internet yang lebih selamat yang menyediakan pengalaman lebih baik dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata, Hari Internet Lebih Selamat yang telah diraikan awal bulan ini mengingatkan kita bahawa kerajaan, organisasi dan individu memainkan peranan masing-masing untuk menjadikan Internet tempat yang lebih baik untuk semua sama ada untuk bekerja atau berhibur.

Menurut Liz, remaja berumur 13-16 tahun di Malaysia didapati memainkan peranan sebagai pendorong tingkah laku positif dalam DCI, dan mencatatkan 57 mata bagi kesopanan dalam talian, berbanding orang dewasa yang mencatatkan 68 mata.

Tambahan lagi kata beliau, 37 peratus responden di Malaysia berkata kesopanan dalam talian bertambah baik semasa pandemik, disebabkan sentimen keprihatinan yang mendorong orang ramai saling membantu dan memberi semangat kepada satu sama lain.

Beliau menjelaskan, 17 peratus menyatakan kesopanan dalam talian bertambah teruk akibat penularan maklumat yang palsu dan mengelirukan dan lebih banyak serangan peribadi dan komen negatif.

‘’Risiko yang dihadapi oleh pengguna dalam talian kini semakin kerap dan ketara dalam bentuk hantaran tanpa nama kebelakangan ini, dengan 12% daripada responden Malaysia melaporkan risiko dalam talian yang dialami dalam tempoh seminggu lepas, dan 47% berkata risiko yang dihadapi mereka berpunca daripada orang tidak dikenali di dalam talian.

“Kami berbesar hati untuk melihat generasi masa depan kita menerajui usaha negara ke arah interaksi positif di dalam talian, dan menyaksikan warga digital bersatu padu dan menambah baik komuniti dalam talian semasa pandemik,” tambah Liz.

Namun begitu, jelas Liz, ancaman yang memecah-belahkan warga digital seperti maklumat palsu dan mengelirukan serta tingkah laku dalam talian yang kurang sopan masih menghantui dunia Internet.

Microsoft menyeru rakyat Malaysia untuk bertindak secara positif dan membina dunia maya yang mendorong setiap insan dan organisasi untuk mencapai mercu jaya lebih tinggi.

Menyentuh tinjauan tahun 2021, beliau memberitahu , antara harapan paling besar rakyat Malaysia pada dekad akan datang ialah untuk lebih menghormati satu sama lain (74 peratus), meningkatkan keselamatan (66 peratus), kesejahteraan (35 peratus), kesopanan (31 peratus) dan budi baik (26 peratus). – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan