26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

300 penduduk Kota Tinggi terima kurniaan Sultan Johor

Mesti Baca

JOHOR BAHRU – Seramai 300 penerima termasuk murid sekolah rendah pelbagai kaum di sekitar daerah Kota Tinggi menerima kurniaan keperluan makanan dan sumbangan peribadi daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semalam.

Memetik laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, penerima bantuan terdiri daripada murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mawai, SJKC Yu Hea, SJKC Pei Hwa, SJKC New Kota , SJKC Nan Ya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Laksamana, Kota Tinggi.

Turut menerima kurniaan barangan keperluan makanan ialah 62 orang warga emas yang kurang berkemampuan.

Guru Besar SJKC Mawai, Ching Yun Ming terharu dengan sumbangan yang diterima muridnya, yang terdiri daripada golongan miskin, mangsa banjir dan dari keluarga terjejas punca pendapatan akibat pandemik COVID-19.

“Saya amat berbangga mempunyai seorang Sultan yang memahami kesusahan rakyatnya.

“Sumbangan ini sekali gus dapat memberi pendedahan mengenai keluarga diraja Johor kepada generasi muda.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor merupakan Sultan yang amat prihatin kerana bantuan yang diterima sampai kepada yang memerlukan dengan cara yang mudah dan telus, ” katanya kepada Royal Press Office.

Bantuan disampaikan oleh Datuk David Wong kepada guru besar dengan kerjasama persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

Baru-baru ini, Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) bersama Season Optical menjalinkan kerjasama dalam menghulurkan bantuan cermin mata bernilai RM500,000 kepada 2,500 murid sekolah di seluruh Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda amat mengalu-alukan pihak swasta yang ingin bekerjasama dengan YSIJ bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik yang kita semua lalui sejak tahun lalu, segala jenis bantuan yang boleh dihulur amat dialu-alukan bagi meringankan beban mereka yang terkesan.

“Saya berterima kasih kepada syarikat ini yang tampil untuk bekerjasama dengan yayasan saya dan membantu rakyat dengan cara mereka tersendiri,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Dalam perkembangan lain, Sultan Ibrahim bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat memberikan penghormatan terakhir kepada isteri Datuk R. Sugumaran, semalam.

Berangkat sama, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Sugumaran merupakan bekas Pegawai Juruiring (ADC) Sultan Johor.

Mendiang Datin Muniamal @ Manogari Sivalingam, 57, meninggal dunia semalam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan