28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Muhyiddin kuarantin balik dari Indonesia, Puad dituduh fitnah

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tuduhan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kononnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan dikuarantin setelah kembali dari lawatan rasmi ke Indonesia adalah tidak benar.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan media hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Mohd Puad itu dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Malah, Pejabat Perdana Menteri menyangkal dakwaan bahawa perintah kuarantin tiga hari untuk menteri Kabinet yang berkuat kuasa mulai hari ini diwartakan kerana Muhyiddin enggan dikuarantin.

“Perdana Menteri telah diserahkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah dan dipakaikan gelang pengawasan setibanya dari Jakarta pada Jumaat 5 Februari 2021.

“Beliau pada masa ini sedang menjalani kuarantin di rumah,” jelas kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri menambah, fitnah yang dilemparkan oleh Mohd Puad adalah berniat jahat untuk mencemar nama baik Muhyiddin.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas beliau sekiranya beliau gagal memohon maaf secara terbuka,” katanya.

Apa pula yang dikatakan oleh Mohd Puad sehingga dituduh membuat fitnah itu?

Kenyataan penuh beliau seperti dalam hantaran Facebook hari ini adalah seperti berikut:

Tiba tiba sahaja Menteri Kesihatan keluar surat. Semua Menteri balik bertugas dari luar negara tidak perlu kuarantin 10 hari. Mereka terkecuali dari Seksyen 15 Akta 342.

Benarkah berlaku kekecohan di Airport Subang. Pegawai KKM sudah menunggu untuk urusan kuarantin bila rombongan PM sampai dari Jakarta. Katanya mereka tidak mahu kuarantin 10 hari? Rakyat perlu penjelasan.

Itu sebab Menteri keluar surat arahan baru melalui Warta Persekutuan. Kuarantin cuma 3 hari. Arahan KP Kesihatan di bawah Akta 342 kena “overrule”?

Kalau tidak mahu dikuarantin, apa perlunya keluar negara. Kalau setakat mahu bincang laluan hijau, elok guna sidang maya sahaja.

PKP sudah jadi antara dua darjat?

Setakat ini, Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat belum mengeluarkan kenyataan balas terhadap penafian yang dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri itu.

Tidak diketahui sama ada beliau akan memohon maaf atau sebaliknya berhubung tuduhan yang dibuatnya terhadap Muhyiddin. – EDISI 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan