KUALA LUMPUR – Exco Pemuda UMNO Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin meminta kerajaan membenarkan pusat sukan, taman rekreasi dan gimnasium dibuka semula kerana rakyat perlu bersukan demi kesihatan.
Katanya, apabila melihat pasar malam boleh dibuka, kedai gunting rambut dan lain-lain, beliau berpendapat kenapa tidak kebenaran yang sama diberikan kepada aktiviti bersukan bukan berkumpulan.
“Saya mohon izin mewakili rakyat, pengusaha gimnasium, penggiat sukan rekreasi dan mereka yang suka bersenam agar kerajaan dapatlah pertimbangkan perkara ini segera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menyarankan tempat-tempat tersebut dibenarkan dibuka demi kesihatan tetapi perlu mematuhi SOP.
“Contohnya seperti kalau taman rekreasi, bukalah laluan trekking 1 laluan sahaja iaitu satu laluan masuk dan satu laluan keluar seperti di Taman Tugu. Di taman tasik pula, pastikan bersenam maksima berdua dan juga 1 laluan sahaja.
“Di gimnasium juga pastikan maksimum hanya 20 ke 30 orang sahaja mengikut keluasan gimnasium terbabit dan bersenam maksimum 2 orang sahaja,” katanya.
Beliau berkata, biarpun memahami pandemik Covid-19 masih pada tahap membimbangkanm, tetapi jika rakyat tidak bersukan ia juga membahayakan kesihatan.
“Saya menyokong juga agar aktiviti sukan yang bukan berkumpulan, dibenarkan beroperasi semula. Ramai pengusaha gimnasium juga amat terkesan dengan pendapatan mereka dan ada sebahagian mereka terpaksa menutup gimnasium mereka kerana tidak mampu membayar hutang bank,” katanya. – Edisi 9