31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Memoir Tommy Thomas: Najib pelik pemimpin DAP tidak bersuara

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak merasa pelik kerana sehingga kini tiada seorang pun pemimpin DAP memberi sebarang komen berhubung buku My Story: Justice in the Wilderness.

Bekas Perdana Menteri itu juga tertanya-tanya kenapa Lim Kit Siang tidak memberi komen berhubung pendedahan Tan Sri Tommy Thomas bahawa dia sudah mendapat persetujuan daripada DAP sejak tahun 2013 untuk dilantik sebagai peguam negara apabila parti itu menjadi kerajaan.

“Kit Siang tak mahu komen ke atas pendedahan Tommy bahawa dia sudah dapat persetujuan dari DAP sejak tahun 2013 untuk dilantik peguam negara bila DAP jadi kerajaan?

“Selepas Tommy dilantik, kes anak Kit Siang dan rata-rata kes pemimpin PH (pakatan Harapan) digugurkan manakala rata-rata pemimpin UMNO didakwa,” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu juga mahu mendengar komen Kit Siang berhubung pendedahan Tommy bahawa bekas Peguam Negara itu dan Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam perlantikan jawatan tertinggi hakim-hakim walaupun ia sepatutnya dibuat melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

“Kit Siang dari dulu-dulu sudah sokong Richard Malanjum untuk menjadi Ketua Hakim Negara. Lalu Richard dilantik Ketua Hakim Negara.

“Dalam minggu pertama dia menjawat, hakim kes SRC saya pula diganti dengan hakim baru walaupun perbicaraan sudah berjalan.

“Hakim baru tersebut pula cuma dilantik hakim mahkamah tinggi sivil pada tahun sebelumnya – bermakna dia hanya ada pengalaman setahun dalam kes sivil dan langsung tiada pengalaman kes jenayah.

“Dia dipindah dari mahkamah sivil seminggu selepas Richard dilantik Ketua Hakim Negara untuk mengganti hakim kes SRC saya,” katanya.

Najib berkata, Richard sempat menjawat jawatan itu selama sembilan bulan sahaja sebelum bersara wajib.

“Lepas itu dia dilantik pengerusi Berjaya Land milik kawan paling rapat Tun Mahathir dan juga berkempen bersama atas pentas dengan Guan Eng di PRN Sabah.

“Kedua-dua ini adalah pendedahan yang amat serious. Kenapa pula Kit Siang dan DAP langsung tiada apa-apa komen untuk buku Tommy?” katanya.

Memoir Tommy Thomas telah mencetuskan kontroversi sejak diterbitkan dan sehingga kini sekurang-kurangnya dua laporan polis telah dibuat terhadap beliau serta satu saman fitnah dikemukakan oleh Najib. – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan