29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Jerebu diramal datang lagi penghujung 2021

Mesti Baca

JAKARTA – Indonesia dan negara-negara yang berjiran dengannya termasuk Malaysia dijangka mengalami fenomena jerebu sekali lagi pada hujung tahun ini.

Situasi itu diramalkan berlaku ekoran berapa titik panas mula dikesan di sekitar Sumatera.

Memetik laporan Agensi Antara, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengarahkan pihak berkuasa di negaranya bersedia menghadapi kemungkinan insiden kebakaran hutan pada penghujung 2021.

Menurut Jokowi, hampir 99 peratus kebakaran hutan berpunca daripada perbuatan manusia, sama ada yang dilakukan secara sengaja atau disebabkan kelalaian.

“Petani dikatakan sering menggunakan api sebagai kaedah pembersihan paling murah.

“Justeru, saya minta pemerintah daerah untuk menyiapkan infrastruktur pencegahan kebakaran hutan.

“Sumatera menghadapi peningkatan risiko kebakaran hutan bulan ini dan wilayah Kalimantan di Pulau Borneo serta Sulawesi lazimnya mula melihat kebakaran hutan pada Mei hingga Julai dengan puncaknya pada Ogos hingga September.

“Kebakaran ini boleh menyebabkan kerugian kewangan yang besar dan ia belum termasuk lagi kerosakan pada ekologi dan ekosistem yang ada,” katanya.

Beliau berkata lagi, kebakaran yang dilakukan bertujuan membersihkan kawasan ladang untuk pertanian kelapa sawit, di mana Indonesia adalah negara utama pengeluar komoditi itu di dunia.

Advertisements

Sementara itu, seorang pegawai meteorologi di Indonesia memberitahu, keluasan kawasan panas di sekitar Riau, Sumatera melonjak kepada 63 semalam.

Sebelum ini, hanya sembilan titik panas yang dikesan.

Pada 2015, Malaysia mengalami jerebu yang dikatakan terburuk dalam sejarah negara sehingga menyebabkan IPU mencecah tahap tidak sihat.

Banyak sekolah terpaksa ditutup manakala penerbangan dan acara luar peringkat kebangsaan terpaksa dibatalkan.

Jerebu itu berpunca daripada kebakaran hutan yang berlaku di Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Empat tahun kemudian, jerebu yang teruk sekali lagi melanda Malaysia akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Pencemaran udara yang berlaku menyebabkan sebanyak 2,649 sekolah di sekitar Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak terpaksa ditutup.

Bilangan kes penyakit asma dan konjunktivitis di seluruh negara juga dilaporkan meningkat ketika itu. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan