30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

JDT, Real Chukai FC boleh jalin kerjasama pada masa depan

Mesti Baca

KELAB bola sepak paling berjaya di negara ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab amatur, Real Chukai FC mungkin boleh menjalinkan kerjasama, pada masa depan.

Itulah bayangan yang diberikan oleh pemillik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika menerima kunjungan delegasi kelab berpangkalan di Kemaman, Terengganu itu petang semalam.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Real Chukai, Mohammad Fadhil Mat Nor, dalam pertemuan itu Tunku Ismail menyatakan rasa gembira beliau melihat perjalanan kelab tersebut dari sebuah kelab komuniti sehingga ke hari ini.

Sehubungan itu, menurut Mohammad Fadhil, Tunku Ismail berharap kelab-kelab bola sepak lain dapat mencontohi usaha yang dilakukan oleh Real Chukai.

“Tunku ada memberi bayangan untuk bekerjasama dengan Real Chukai, terutama dalam penyediaan bakat sebab kami ada akademi bola sepak sendiri.

“Mungkin suatu hari nanti Real Chukai dapat membekalkan pemain berkualiti untuk JDT,” katanya ketika dihubungi Edisi 9 malam tadi.

Pertemuan kira-kira sejam setengah itu turut disertai Pengerusi Real Chukai, Ahmad Mat Zin serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amirrul Hakim Osman selain Mohammad Fadhil sendiri.

Baru-baru ini Real Chukai menjadi kelab bola sepak amatur pertama di Terengganu memiliki stadium sendiri selepas mengambil alih Stadium Mak Chili daripada kerajaan tempatan.

Stadium menggunakan rumput tiruan itu mempunyai kapasiti 1,000 tempat duduk menjadikannya stadium terbesar di daerah Kemaman.

Mohammad Fadhil berkata, pihaknya sama sekali tidak menyangka menerima jemputan daripada Tunku Ismail untuk bertemu dengan pengurusan kelab.

Ini kerana, kata beliau, Real Chukai hanyalah sebuah kelab amatur yang beraksi dalam M4 Liga Malaysia berbanding JDT yang telah menjulang juara liga tujuh musim berturut-turut.

“Tambahan pula kami hanya sebuah kelab kecil yang berada di luar Johor. Kesudian Tunku untuk bertemu dengan kami memberi seribu makna kepada kami,” katanya.

Sementara itu, sebagai dorongan kepada kelab tersebut, Tunku Ismail dan JDT turut mengurniakan sumbangan atas segala hasil usaha yang telah mereka lakukan setakat ini.

Tunku menerusi akaun Facebooknya juga berharap Real Chukai dapat mencapai cita-cita kelab itu selepas ini. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan